Durant bimbing Nets atasi Raptors

LOS ANGELES, 8 NOV – Kevin Durant menjaringkan 31 mata untuk mencatat permainan ke-10 berturut-turut dengan 20 mata atau lebih, ketika Brooklyn Nets menewaskan pasukan tuan rumah, Toronto Raptors 116-103 kelmarin.

Durant juga memperoleh tujuh rebound dan tujuh assist, tatkala Brooklyn memenangi perlawanan kelima berturut-turut di hadapan 19,800 penonton di Arena Scotiabank.

“Sepeti yang kami katakan sejak hari pertama, dia sukar dipercayai musim ini, melakukan rebound, menjaringkan mata, memudahkan,” kata jurulatih Nets, Steve Nash. Durant bermain di Kanada buat kali pertama sejak mengalami kecederaan tendon Achilles kirinya semasa bermain untuk Golden State Warriors dalam perlawanan akhir NBA 2019.

“Kali terakhir saya berada di sini adalah salah satu detik paling rendah saya sebagai pemain bola keranjang,” kata Durant.

James Harden menambah 28 mata, 10 rebound dan lapan assist, Blake Griffin memperoleh 14 mata dan 11 rebound dan Patty Mills keluar dari bangku simpanan untuk menjaringkan 13 mata dalam kemenangan tersebut.

“Apabila dia berada pada tahap itu, dia membuatkan kami bersemangat,” kata Griffin mengenai Harden, yang menjaringkan 16 daripada 28 mata pada suku keempat. “Kami, sebagai satu pasukan, boleh beralih ke tahap yang berbeza.” Fred VanVleet mempunyai 21 mata dan lapan assist untuk Raptors, yang telah tewas dua kali beturut-turut.

OG Anunoby menambah 16 mata, Gary Trent hanya meraih 14 mata dan Precious Achiuwa mencatat 13 mata. Penyerang Raptors, Pascal Siakam, dalam perlawanan pertamanya musim ini selepas pulih dari pembedahan bahu, menjaringkan 15 mata dalam masa permainan 25 minit sepanjang perlawanan. – AFP

Aksi pemain NBA Brooklyn Nets, Kevin Durant ketika mencuba melakukan jaringan pada separuh masa pertama dalam perlawanan NBA di Arena Scotiabank kelmarin. – AFP