Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Durian satukan jiwa

    Oleh Sakini Mohd Said

    KUALA LUMPUR – Sedang penulis menghirup teh o panas sambil menikmati pisang goreng pada satu petang di sebuah gerai di Wangsa Maju, mata terpandang poster pesta makan durian yang ditampal kemas pada sebatang pokok.

    “Jom Makan Durian! Bayar RM50 sahaja dan boleh makan durian sampai pengsan”, antara ayat pada poster berkenaan yang pastinya akan menarik perhatian penggemar durian termasuklah rakan penulis, Adila Abdul, seorang penjawat awam.

    Sebagai pencinta durian atau sinonim dengan panggilan raja segala buah itu, Adila, 33, memang ‘pantang’ betul melihat mana-mana iklan jualan durian atau longgokan buah berkenaan khususnya variasi kampung yang sekarang ini begitu banyak dijual termasuk di tepi jalan.

    Sambil menyuarakan keterujaan untuk pergi ke pesta durian itu, rakan penulis itu berkata trend menikmati keenakan isi buah di sebalik kulit berduri itu sudah jauh berbeza berbanding sebelum ini.

    Sambil mengimbas kembali nostalgia tahun 90an, Adila berkata pilihan pencinta durian untuk menikmati buah tersebut pada masa itu sama ada yang dibeli di tepi jalan, pasar malam adalah terhad iaitu di rumah ataupun dalam suasana dusun kampung milik keluarga, sanak saudara dan juga rakan.

    Inilah keunikan durian yang mempunyai nilai dan aura sangat eksklusif bukan hanya kerana keenakannya tetapi paling penting peranannya dalam penyatuan masyarakat. – Bernama

    Seperti kita sedia maklum, pencinta raja buah ini melangkaui pelbagai kaum. – Bernama

    Ini kerana baunya yang kuat dan tidak disenangi sesetengah orang khususnya di tempat tertutup, menyebabkan acara makan durian biasanya tidak diadakan di tempat terbuka apatah lagi sekitar perkarangan pejabat mahupun hotel.

    Namun, sejak kebelakangan ini trend makan durian nampaknya sudah semakin mendapat tempat dalam kalangan sektor korporat, pejabat kerajaan mahupun hotel bertaraf lima bintang.

     Apa pun spesies durian, saya melihat trend pesta atau bufet durian ini sebenarnya mempunyai matlamat sangat besar penganjurannya di mana ia bukan hanya memberi peluang pada pencinta durian untuk menikmati buah tersebut sepuas-puasnya tetapi lebih daripada itu.

    Digemari pelbagai kaum

    Seperti kita sedia maklum, pencinta raja buah ini melangkaui pelbagai kaum. Justeru, program sebegini sebenarnya dilihat sebagai medan terbaik untuk menyemarakkan kembali semangat perpaduan masyarakat negara ini apabila mereka berkumpul beramai-ramai dan menikmati raja buah itu di bawah satu bumbung.

    Dengan hanya kadar bayaran minimum ditetapkan untuk seorang individu, suasananya cukup meriah, cukup mesra tanpa mengira agama, kaum, budaya mahupun perbezaan politik dan saya sebagai antara seorang yang pernah beberapa kali menyertainya tidak menafikan trend ini sangat menarik.

    Selain itu, apa yang menarik lagi mengenai pesta durian adalah ia bukan hanya menjadi tumpuan masyarakat tempatan bahkan pelancong antarabangsa juga tidak ketinggalan begitu menyukai acara sedemikian dan isi buah tersebut.

    Pastinya ia merupakan satu promosi terbaik buat Malaysia apabila pelancong luar ini bertindak sebagai duta sekembalinya mereka ke negara asal dengan menceritakan kepada keluarga, rakan mengenai keharmonian masyarakat negara ini tatkala menikmati durian. Saya ada terjumpa satu video penggemar durian dari Jepun yang jatuh cinta dengan raja buah ini ketika melancong ke Malaysia. Punyalah suka durian sehingga wanita ini mencari buah ini ketika melancong di Hong Kong dan membeli sebiji durian Musang King dengan harga AS$13.

    Sayang sekali rasa durian tidak sesedap yang dimakannya di Malaysia.

    Sememangnya, inilah keunikan durian yang mempunyai nilai dan aura sangat eksklusif bukan hanya kerana keenakannya tetapi paling penting peranannya dalam penyatuan masyarakat. Kerana itulah, ia memang wajar digelar raja segala buah.

    Memasuki bulan Ogos ini, suasana pesta durian yang masih lagi giat dianjurkan ini dilihat sangat bersesuaian dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sepanjang 1 Ogos hingga 16 September ini. Musim durian pula dikatakan akan berterusan sehingga penghujung tahun. – Bernama

    Pengat durian

    Bahan-bahan

    7 hingga 8 ulas durian

    2 hingga 3 cawan santan sederhana pekat

    1 keping gula Melaka

    3 sudu makan gula pasir

    1 sudu teh garam

    1 helai daun pandan dicarik-carikkan dan simpul

    Cara penyediaan

    Durian yang dibekukan dikeluarkan dan biarkan pada suhu bilik

    Satukan santan, gula Melaka, daun pandan, garam dalam periuk. Masak sehingga nampak mendidih, kemudian masukkan durian.

    Bila sudah mendidih, sesuaikan rasa dan tutupkan api. Enak dicicah bersama roti.

    Kek keju durian

    Bahan-bahan

    200 gram biskut digestive

    100 gram mentega dicairkan

    Tekan pada dasar Loyang berukuran 7 x 7 – simpan di dalam peti sejuk selama 20 minit

    250 gram krim keju

    250 gram non-dairy whipping cream

    230 gram isi durian

    100 gram gula castor

    2 sudu makan madu

    2 sudu teh gelatin halal

    60 ml air panas

    Cara penyediaan

    Putar whipping cream sehingga kembang dan kental. Simpan di dalam peti sejuk sebentar

    Putar krim keju, gula dan isi durian hingga kembang dan lembut

    Cairkan gelatin dengan air panas. Kacau sehingga gelatin larut

    Masukkan gelatin ke dalam adunan keju

    Campurkan adunan keju dan krim putar tadi serta kacau sebati dengan kaedah kaup balik perlahan

    Tuang adunan ke dalam loyang ‘loose tin’ yang boleh dibuka di bawahnya

    Simpan dalam peti sejuk selama 5 jam hingga kek mengeras dengan sempurna

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda