TANGKAK, 30 MEI – Tourism Malaysia menyasarkan penglibatan pelancong asing dalam pakej ‘Durian Tourism 2023’, sebagai usaha mempromosikan musim durian di seluruh negara, tahun ini.
Pengarah Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar berkata ia susulan kesinambungan kejayaan kempen itu tahun lepas, yang melibatkan pelancong domestik.
Beliau berkata pada edisi kali ini, pakej ‘Durian Tourism 2023’ akan diperluaskan ke beberapa buah negeri di Johor, Pahang, Selangor, Perak, Kedah dan Perlis, berbanding hanya di Pulau Pinang tahun lepas.
“Tourism Malaysia mengambil inisiatif memasarkan pakej Durian Tourism 2023 di luar negara seperti China, Hong Kong, Taiwan, Brunei dan Singapura, agar pelancong dari negara berkenaan berkunjung ke negara kita.
“Dalam masa yang sama kita juga dapat memperkenalkan betapa ‘premium’ durian kita berbanding durian di tempat lain, serta mempunyai kelebihan juga keistimewaannya yang tersendiri,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pakej Durian Tourism 2023, di Happy Fruit Tangkak, di sini hari ini. – Bernama