Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato hari ini mewakili Institut Judo Kodokan Tokyo menyampaikan tajaan pakaian seragam sebanyak 11 set kepada Akademi Judo Sekolah Sukan Brunei Darussalam.
Tajaan berkenaan disampaikan kepada Pengetua Sekolah Sukan Brunei Darussalam, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim sebelum menyaksikan beberapa anggota Akademi Judo Sekolah Sukan cuba mengenakan pakaian seragam yang baru ditaja itu.
Sejak penubuhannya pada April 2017, Akademi Judo Sekolah Sukan telah mempromosikan seni bela diri Judo kepada orang ramai dan menawarkan kelas Judo kepada generasi muda dengan sokongan padu Institut Judo Kodokan Tokyo. Institut Judo Kodokan merupakan ibu pejabat kepada masyarakat Judo antarabangsa yang ditubuhkan oleh Kano Jigoro dan sejak penubuhannya ia banyak menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan sukan Judo melalui penyediaan jurulatih, seminar, latihan dan juga sumbangan kelengkapan.
Tahun ini institut itu telah bekerjasama dengan Japan Foundation Asia Center dalam mempromosikan sukan Judo di Asia Tenggara termasuk di Brunei Darussalam dan terlibat secara langsung dalam penubuhan Persekutuan Judo Kebangsaan Brunei Darussalam.
