Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Duta Besar Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam Tuan Yang Terutama Mohammad Taghi Rajabi, baru-baru ini telah mengadakan pertemuan bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.
Pada pertemuan itu, Tuan Yang Terutama telah berpeluang mengadakan lawatan ke Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) di Kumbang Pasang.
Semasa lawatan itu, beliau telah menulis “Bismillah al-Rahman al-Rahim” dalam tulisan Nasta‘liq menggunakan pen dan dakwat khat tradisional di mana hasil seni ini telah mendapat sambutan hangat daripada Dr. Nor Imtihan dan rakan-rakannya.
Pada masa kini, Republik Islam Iran menganggap tulisan Nasta‘liq bukan sahaja sebagai khazanah negara, malah sebagai simbol budaya yang mencerminkan peranan bersejarah Iran dalam memartabatkan seni Islam dan khat di peringkat antarabangsa.




