Saturday, February 22, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Duta Jepun utus tahniah sempena Hari Keputeraan ke-78

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru telah menyampaikan sembah perutusan tahniah kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda ke-78.

    TYT Maeda Toru dalam perutusannya menyampaikan sembah perutusan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat Jepun.

    “Dengan penuh penghormatan kami meraikan peristiwa penting ini bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan rakyat Brunei, di samping memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Jepun dan Brunei,” ujar beliau.

    Beliau juga menekankan bahawa komitmen Baginda Sultan untuk memupuk keamanan, kestabilan dan pembangunan bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Brunei, malah turut menyumbang kepada keharmonian serantau yang lebih luas.

    “Tahun ini menandakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Jepun dan Brunei. Semasa lawatan Baginda ke Jepun Disember lalu, ia telah dipersetujui untuk menetapkan 2024 sebagai Tahun Persahabatan Jepun-Brunei.”

    Menurut beliau, pada bulan Mac, mereka mendapat penghormatan untuk mengalu-alukan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ke Jepun, menandakan pelancaran rasmi Tahun Persahabatan Jepun-Brunei.

    “Semasa lawatan ini, Jepun dan Brunei mengumumkan peningkatan hubungan mereka kepada perkongsian strategik,” tambah TYT Maeda Toru.

    Menurut Tuan Yang Terutama lagi, terdapat lawatan dan acara bersama yang aktif dijalankan dalam memperingati tahun mercu tanda tersebut seperti persembahan pancaragam oleh Pasukan Pertahanan-Diri Maritim Jepun pada bulan Mei lalu, festival filem Jepun serta bengkel Ikebana pada bulan Jun lalu, dan juga Pesta Makanan Jepun yang dirancang akan diadakan pada bulan Ogos ini, yang mencerminkan usaha mereka untuk meningkatkan pertukaran budaya dan memupuk persefahaman bersama yang lebih mendalam antara kedua-dua negara.

    Di akhir perutusannya, Tuan Yang Terutama mendoakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan rakyat Negara Brunei Darussalam dalam kesihatan yang baik, kebahagiaan, keamanan dan kemakmuran yang berterusan di bawah pemerintahan Baginda Sultan.

    TYT Maeda Toru. – GAMBAR SERAHAN KEDUTAAN JEPUN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda