Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Duta Kesejahteraan tingkat kesedaran kesihatan awam

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menilai keberkesanan penyertaan mereka menerusi Duta Kesejahteraan di BIBD Mega Karnival 2024 yang berakhir baru-baru ini, di mana mereka menyediakan perkhidmatan kesihatan yang penting dan mempertingkat kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat.

    Semasa karnival, yang diadakan dari 13 hingga 17 November lalu di Dewan Bridex, Jerudong, Duta Kesejahteraan BIBD menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma dan sokongan pertolongan cemas, termasuk pemeriksaan glukosa darah, asid urik, paras hemoglobin, kolesterol, tekanan darah dan ketepuan oksigen membolehkan pengunjung mendapat maklumat penting tentang kesihatan mereka.

    Program Duta Kesejahteraan BIBD, yang ditubuhkan pada 2022, mewakili inisiatif perintis yang bertujuan meningkatkan kesihatan dan keselamatan awam. Dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Amin Liew bin Abdullah, Duta Kesejahteraan terdiri daripada lebih 33 orang sukarelawan, termasuk kakitangan BIBD dan rakan strategik daripada agensi kerajaan.

    Setiap ahli menjalani latihan yang meluas dalam Occupational First Aid, yang diperakui oleh Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), dan dilengkapi dengan kemahiran dalam Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) dan penggunaan Automated External Defibrillators (AEDs). Selain pertolongan cemas fizikal, para duta dilatih dalam Psychological First Aid (PFA) dan kaunseling, memperkasakan mereka untuk menangani kebimbangan kesihatan mental di samping isu-isu kesihatan fizikal.

    Sepanjang karnival, Duta Kesejahteraan menerima maklum balas yang sangat positif daripada pengunjung, yang memuji profesionalisme dan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan itu. Usaha mereka bukan sahaja telah meningkatkan kesedaran kesihatan awam tetapi juga menegaskan semula peranan BIBD sebagai penyokong utama kesejahteraan masyarakat.

    Sejak penubuhannya, Duta Kesejahteraan telah mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai inisiatif kebangsaan, seperti kempen kesedaran kesihatan untuk Hari Kanser Sedunia dan Hari Buah Pinggang Sedunia dan memberikan sokongan pertolongan cemas pada acara-acara besar, termasuk upacara diraja dan perayaan umum. Perkhidmatan luar biasa mereka telah menerima pengiktirafan, termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang berprestij daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam atas usaha menyelamatkan nyawa semasa kecemasan.

    BIBD Mega Karnival 2024 menyediakan platform yang sempurna untuk Duta Kesejahteraan meneruskan misi mereka mempromosikan gaya hidup lebih sihat. Sumbangan mereka pada acara itu mengukuhkan komitmen BIBD untuk membina masyarakat Brunei yang lebih sihat, lebih bermaklumat dan berdaya tahan.

    Pemeriksaan kesihatan percuma ditawarkan semasa karnival berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    GAMBAR SERAHAN BIBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda