Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Duta Perancis, Indonesia diraikan di majlis perpisahan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Nov – Kor Diplomatik mempunyai tanggungjawab untuk menjana, memperkukuhkan dan meningkatkan perhubungan individu dan hubungan kerjasama dua hala bukan sahaja dengan negara hos tetapi juga di antara ahli-ahli kor yang lain dalam semangat setia kawan dan kekeluargaan.

    Menerusi persahabatan yang dikongsi bersama, setiap perwakilan bukan sahaja berpeluang untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan tetapi juga berpeluang untuk memperluaskan lagi pengalaman kehidupan diplomatik, menjalinkan hubungan persahabatan yang baru serta mengukuhkan lagi hubungan dalam kalangan ahli-ahli diplomatik.

    Perkara itu dinyatakan oleh Duta Kuwait ke Negara Brunei Darussalam selaku Dekan Kor Diplomatik, Tuan Yang Terutama Dr. Fahad Mashary Al-Thafiri ketika berucap di Majlis Makan Tengah Hari Perpisahan bagi Duta Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Loan Forgeron dan Duta Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nurul Qomar yang menamatkan perkhidmatan, di Hotel Radisson, ibu negara, hari ini.

    TYT Dr. Fahad bagi pihak Kor Diplomatik turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta rakyat dan penduduk negara ini di atas layanan mesra, sokongan, sumbangan yang tak ternilai serta persahabatan yang ditunjukkan kepada mereka yang tinggal di dalam negara yang aman dan tenteram.

    Ahli-ahli Kor Diplomatik bergambar ramai sebelum Majlis Makan Tengah Hari Perpisahan bagi duta Perancis dan duta Indonesia di Hotel Radisson.

    Sementara itu, Puan Yang Terutama Nurul Qomar menyatakan bahawa sepan-jang perkhidmatannya di sini, hubungan persahabatan dan kerjasama di antara Brunei dan Indonesia terus diperkukuhkan dan dipertingkatkan serta turut menyaksikan perasmian Bangunan Kedutaan Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam pada 2014.

    Manakala itu, Puan Yang Terutama Loan Forgeron menyatakan pengalaman selaku Duta Perancis ke Negara Brunei Darussalam banyak memberikan kenangan baginya dan membantunya untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan terbaik.

    Beliau juga amat menghargai persahabatan dan kemesraan yang ditunjukkan kepada dirinya serta rakyat Perancis yang menetap dan berkhidmat di negara ini di mana melalui interaksi itu telah mengukuhkan dan mengeratkan lagi persahabatan di antara Brunei dan Perancis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda