Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Duterte hadir di ICC, berdepan pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan

    AMSTERDAM/MANILA, 14 MAC – Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, dijadualkan membuat penampilan pertama di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda, hari ini bagi mendengar pertuduhan terhadapnya berhubung jenayah terhadap kemanusiaan.

    Duterte, 79, yang tiba di Belanda Rabu lalu, berdepan dakwaan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan berikutan ‘perang melawan dadah’ semasa berkuasa, termasuk pembunuhan sekurang-kurangnya 43 orang antara 2011 dan 2019.

    Mahkamah dalam satu kenyataan kelmarin memaklumkan bahawa sesi itu akan bermula pada 2 petang waktu tempatan.

    “Dalam sesi ini, mahkamah akan mengesahkan identiti tertuduh, memastikan tertuduh memahami prosiding dalam bahasa pilihan, serta memaklumkan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan hak-hak yang diperuntukkan di bawah Statut Rom ICC,” menurut kenyataan itu.

    Bekas pemimpin itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila Selasa lalu berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan ICC, sebelum dibawa ke The Hague menerusi penerbangan khas.

    Duterte memegang jawatan sebagai Presiden Filipina dari 2016 hingga 2022 dan terkenal dengan dasar kerasnya terhadap jenayah berkaitan dadah.

    Rekod rasmi pihak berkuasa menunjukkan sekitar 6,000 orang terbunuh sepanjang operasi itu, namun kumpulan hak asasi manusia menganggarkan angka sebenar mencecah 30,000 orang, dengan banyak kes didakwa berlaku tanpa proses perbicaraan yang sewajarnya.

    Waran tangkap yang dikeluarkan ICC menyatakan terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa Duterte bertanggungjawab secara langsung atas pembunuhan yang boleh diklasifikasikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, bermula ketika beliau menjadi Datuk Bandar Davao sehingga tempoh pemerintahannya sebagai Presiden. – Bernama

    Gambar meunjukkan penunjuk perasaan menyokong Duterte di hadapan ICC, di The Hague pada 14 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda