Tuesday, February 25, 2025
21.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Duterte henti pembinaan benteng pasir

    MANILA, Filipina, 8 Nov – Presiden Filipina Rodrigo Duterte menghentikan kerja-kerja pembinaan di benteng pasir yang baru didirikan di Laut China Selatan selepas China mengemukakan bantahan, kata ketua pertahanan Delfino Lorenzana hari ini, mendedahkan butir-butir perbalahan wilayah baru untuk kali pertama.

    Perbalahan berhubung beberapa siri benteng pasir yang digelar Sandy Cay timbul pada Ogos dan mendorong China dan Filipina menimbang untuk mengadakan rundingan tentang protokol atau peraturan untuk membenarkan kedua-dua pihak mengelakkan daripada keadaan menjadi tidak terkawal, kata Lorenzana.

    Perselisihan tentang benteng pasir kecil berhampiran pulau Thitu yang dihuni oleh Filipina di gugusan kepulauan Spratlys masih belum selesai namun kedua-dua pihak berjanji tidak akan menduduki mana-mana wilayah baru, kata beliau.

    Tuntutan China ke atas kebanyakan Laut China Selatan bertindih dengan tuntutan oleh Filipina dan empat kerajaan lain.

    Meskipun begitu, ketegangan mula reda sejak Duterte menerajui tampuk pemerintahan sebagai presiden pada tahun lalu dan mengambil langkah-langkah untuk memulihkan hubungan dingin dengan Beijing.

    Delfin Lorenzana semasa bercakap dengan media di Makati, Manila. Lorenzana berkata Presiden Rodrigo Duterte telah menghentikan kerja pembinaan benteng pasir di Laut China Selatan disebabkan bantahan dari Beijing. – AP

    Duterte telah menarik perniagaan China dan mengambil pendekatan perdamaian terhadap perbalahan wilayah mereka.

    Beliau enggan memperpanjangkan masalah dengan China menurut satu keputusan oleh tribunal PBB yang membatalkan tuntutan Beijing di Laut China Selatan, mencetuskan kritikan daripada nasionalis dan kumpulan sayap kiri yang mahu beliau menuntut China supaya mematuhi keputusan tersebut dengan serta-merta.

    “Kami cuba mendirikan beberapa struktur di salah satu benteng pasir berhampiran dengan pulau kami dan China bertindak balas,” beritahu Lorenzana pada forum diplomatik di Manila, menambah Duterte seterusnya mengarah “Biarlah kami menarik diri.”

    Kedua-dua pegawai kanan keselamatan Filipina memberitahu The Associated Press pada masa itu bahawa tiga buah kapal tentera laut China, sebuah kapal pengawal pantai dan 10 bot perikanan mula mengawasi Sandy Cay selepas menemui warga Filipina di benteng pasir itu. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda