MANILA, 26 JUN – Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte merancang bertanding untuk kerusi Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal tahun depan, kata anak perempuannya dan naib presiden negara itu kelmarin.
Apabila penggal presiden Duterte yang penuh kontroversi berakhir pada 2022, beliau berkata akan bersara daripada politik, tetapi beliau telah menarik balik kenyataan awamnya beberapa kali.
Naib Presiden, Sara Duterte berkata dua abangnya juga bercadang untuk bertanding dalam pilihan raya sementara beliau berhasrat untuk kembali ke kubu politik keluarganya di bandar Davao, tempat beliau pernah berkhidmat sebagai datuk bandar untuk bertanding semula bagi jawatan yang sama.
Sara tidak memberitahu bila dia bercadang untuk berbuat demikian. Salah seorang daripada dua abangnya, Sebastian Duterte, yang merupakan Datuk Bandar Davao sekarang, juga merancang untuk bertanding jawatan presiden pada 2028, katanya kepada pemberita.
Sara Duterte bertanding sebagai pasangan calon naib presiden Ferdinand Marcos Jr, anak lelaki dan nama yang sama dengan bekas diktator yang digulingkan, di bawah kempen perpaduan politik yang diadakan secara tergesa-gesa dan kedua-duanya menang dengan margin yang besar pada 2022.
Gabungan itu menggabungkan kuasa undi kubu kuat politik keluarga mereka tetapi mencetuskan kebimbangan aktivis hak asasi manusia.
Perikatan itu, bagaimanapun, dengan cepat menghadapi masalah politik.
Minggu lalu, Sara Duterte mengumumkan beliau telah meletak jawatan sebagai Setiausaha Pendidikan dan Ketua Badan antipemberontakan, tanpa menyatakan sebabnya.
Ia adalah petanda terbaharu pakatannya dengan Presiden Marcos Jr sedang goyah akibat perbezaan utama, termasuk cara pengendalian dalam menangani pertikaian wilayah yang semakin meningkat dengan Beijing. – AP
