Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dwayne Johnson akui alami tekanan perasaan selepas bercerai

    Pelakon kelahiran Amerika, Dwayne Johnson pernah mengalami tekanan perasaan selepas bercerai dengan isteri pertamanya, Dany Garcia, pada 2008. Dia mengakui perpisahan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi.

    Dia begitu terkesannya dengan situasi tersebut sehingga bekas ahli gusti WWE itu mula mempersoalkan makna kehidupannya.

    “Pada mulanya saya fikir perkahwinan ialah satu ikatan seumur hidup. Namun, hakikatnya tidak seindah yang saya bayangkan,” katanya dalam podcast Awards Chatter terbitan The Hollywood Reporter yang dipetik hari ini.

    Dwayne menambah, “Pada waktu itu, kami mempunyai anak. Saya mula tertanya-tanya, apakah saya akan menjadi seorang ayah yang baik? Semua itu membuat saya tertekan dan mempersoalkan kewujudan diri saya.”

    Memetik laporan Celebrity Okezone, pelakon berusia 53 tahun itu turut mengakui tekanan perasaan akibat perceraian tersebut telah menjejaskan kerjayanya dalam bidang lakonan.

    Ketika itu, dia hanya menerima tawaran projek yang berakhir dengan kisah gembira.

    “Sekurang-kurangnya dalam pekerjaan, saya mahukan pengakhiran yang bahagia. Jadi, ya, saya hanya menerima projek yang boleh membuat saya berasa gembira,” ujarnya lagi.

    Walaupun perpisahan itu sukar pada awalnya, Dwayne Johnson dan Dany Garcia masih mengekalkan hubungan baik sebagai sahabat.

    Setelah 11 tahun hidup menduda, Dwayne berkahwin dengan Lauren Hashian pada 2019.

    Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak perempuan. – Agensi

    Tekanan perasaan yang dihadapi Dwayne menjejaskan kerjayanya. – Instagram @therock
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda