TAIPEI, 9 NOV – All-Star NBA lapan kali, Dwight Howard telah menandatangani perjanjian dengan pasukan dari Taiwan yang akan membuat kemunculan pertama pada minggu depan.
“Saya sangat teruja. Saya tak sabar untuk terbang ke Taiwan dan mula bermain,” kata Howard dalam video di Facebook Page pasukan barunya, Taoyuan Leopards.
“Saya tak sabar nak berjumpa dengan peminat, rasa makanan mereka dan meluangkan masa terbaik, serta memenangi kejohanan untuk bandar Taoyuan.”
Pemain berusia 36 tahun itu merupakan All-Star NBA lapan kali dalam 18 musim NBA dan memenangi kejohanan dengan pasukan dari Los Angeles, Lakers pada musim 2019-2020.
Pada musim lalu, rekod purata perlawanan dia bersama Lakers ialah 6.2 mata dan 5.9 rebounds.
Pasukan Taoyuan Leopards yang berpusat di utara Taiwan akan mengadakan sidang media pada Sabtu untuk memperkenalkan Howard secara rasmi sebelum kemunculan pertamanya pada perlawanan hujung minggu nanti, kata pasukan itu di dalam Facebook.
“Kami berharap dia dapat berkongsi pengalaman, konsep dan kemahiran kepada pemain-pemain muda dalam pasukan ini dan membantu kami menang dalam kejuaraan kali ini”.
Bola keranjang dan bola lisut adalah dua sukan yang paling popular di Taiwan yang mempunyai liga profesional yang menarik minat orang ramai.
The Leopards adalah antara enam pasukan dalam Liga T1 yang ditubuhkan pada tahun lepas, yang merupakan liga paling muda di antara tiga liga profesional yang terdapat di kepulauan itu.
Pasukan itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai kontrak dengan Howard.
“Saya bersedia untuk menikmati hidup dengan bermain sukan yang saya suka di hadapan ramai orang yang menyukai saya,” kata Howard. – AFP