Dyche selar kritikan Klopp

LONDON, 24 OGOS – Sean Dyche membidas kenyataan pengurus Liverpool, Jurgen Kloop selepas melabel pemain-pemain Burnley yang dirasakannya terlalu agresif semasa pertemuan di Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Klopp menamakan penyerang Burnley iaitu Ashley Barnes dan Chris Wood ketika dia mengkritik pegawai perlawanan kerana membenarkan pemain pelawat untuk beraksi terlalu fizikal dalam kemenangan berpihak kepada Liverpool 2-0 di Anfield.

Pengurus Jerman itu berkata dia ‘tidak 100 peratus yakin jika mereka akan diberikan keputusan yang sama sekiranya mereka melakukan tindakan seperti itu’ dan menekankan dia perlu melindungi pemainnya.

“Saya kecewa kerana dia menamakan pemain. Dia tidak sepatutnya berbuat begitu,” Dyche memberitahu wartawan kelmarin.

“Kami mempunyai pemain profesional yang bekerja keras dalam karier mereka untuk mencapai ke tahap ini.

“Tindakan menamakan mereka dalam beberapa kekasaran yang mereka lakukan bagi saya adalah tidak betul, saya merasakan itu tidak bersesuaian.

“Secara keseluruhannya, saya tidak risau mengenai perlindungan pemain kerana saya merasakan pemain mendapat perlindungan ke tahap yang sukar dipercayai dalam sejarah sukan ini dan ia sememangnya wajar.

“Kebimbangan saya ialah dia mempersoalkan pasukan tidak patut melakukan apa yang mereka mampu lakukan semata-mata mahu memenangi perlawanan yang mengikut peraturan, perbuatan yang jelas kami lakukan, kerana tiada satu pun kad dilayangkan.” – AFP

Gambar fail Jurgen Klopp semasa ditemu bual sebelum perlawanan ketika menentang Norwich. Sean Dyche membidas kritikan yang dibuat oleh Klopp ke atas pemainnya semasa kedua-dua pasukan bertemu pada hujung minggu lalu. – AP