Tuesday, November 26, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dynamik, SDEC meterai MoU

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Dalam kerjasama strategik yang bertujuan untuk mempercepatkan transformasi digital di seluruh Asia Tenggara, Dynamik Technologies Sdn Bhd (Dynamik) dan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

    Perkongsian itu dihasrat akan memacu ekonomi digital di Sarawak dan Brunei sekali gus memupuk kerjasama dan inovasi rentas sempadan di seluruh Borneo.

    Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies dan Pengerusi Bersama Komuniti Ekonomi Borneo (BEC), Dayang Haslina Taib menekankan kepentingan perkongsian itu dengan menyatakan, penandatanganan MoU berkenaan menandakan langkah pertama menyertai pasukan rentas sempadan untuk membangunkan bakat digital dan program kolaborasi data bagi manfaat bukan sahaja Sarawak dan Brunei, tetapi juga Borneo dan ASEAN.

    “Kedua-dua sumber dalam bakat berkemahiran dan pandangan bermakna ini adalah elemen penting dalam membangunkan projek transformasi di rantau ini dan membina Borneo sebagai Hab Ekonomi Hijau dan destinasi pelaburan strategik pilihan,” jelasnya.

    MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Dayang Haslina bersama Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Is Ts Sudarnoto Osman, yang disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Tuan Yang Terutama Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada majlis yang berlangsung di Kuching, Sarawak.

    (Dua dari kanan) Dayang Haslina semasa menghadiri majlis menandatangani MoU di Kuching, Sarawak. – GAMBAR SERAHAN DYNAMIK TECHNOLOGIES SDN BHD

    Sebagai rakan pelaksana utama untuk BEC, Dynamik akan bekerjasama dengan SDEC dalam bidang utama seperti penggunaan teknologi, pembangunan bakat, dan pembinaan kapasiti dalam analisis data dan kecerdasan buatan (AI) untuk membangunkan bakat teknologi rantau ini dan memanfaatkan penyelesaian yang dipacu data untuk manfaat Borneo.

    Dynamik dan SDEC bersama-sama mengiktiraf kepentingan mempunyai sumber, kepakaran dan rangka kerja perkongsian pengetahuan untuk menyokong pembangunan dan pelaksanaan projek. Dengan memupuk bakat digital dan memperkasakan perniagaan dengan alatan yang diperlukan, perkongsian ini bersedia untuk membuka potensi penuh ekonomi digital Borneo.

    Platform KARYADI Dynamik, direka untuk menangani keperluan digital perniagaan melalui penyelesaian kod rendah yang mengkhusus dalam pembinaan kapasiti dengan latihan kod rendah, pensijilan dan perkhidmatan outsourcing bakat digital. Selain itu, KARYADI menawarkan perkhidmatan perundingan pendigitalan perniagaan dan akses kepada repositori komprehensif penyelesaian kod rendah yang direka untuk menyelaraskan dan mempercepatkan proses pembangunan dalam menyokong Pelan Induk dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital wilayah Borneo.

    Sebagai melengkapkan ini, platform TENUN akan berfungsi sebagai hab pengetahuan serantau untuk data analitik dan AI, memanfaatkan kedua-dua profesional dan komuniti yang lebih luas di Borneo, memupuk kerjasama dalam projek transformasi digital dipacu data. Platform ini akan memainkan peranan penting dalam memupuk inovasi dipacu teknologi dan mewujudkan peluang pertumbuhan yang mampan.

    MoU itu juga menekankan pengukuhan rangkaian perniagaan rentas sempadan, menghubungkan syarikat, inovator, dan institusi dari Sarawak dan Brunei. Program seperti latihan kod rendah, outsourcing bakat digital, dan pengkomersilan pengetahuan akan memastikan kedua-dua wilayah mempunyai sumber dan kapasiti untuk memenuhi permintaan ekonomi digital yang semakin berkembang.

    Perkongsian ini tertumpu terutamanya untuk menyokong syarikat-syarikat pemula (startups), perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan inovator dengan memudahkan pemindahan teknologi dan kemahiran. Kerjasama itu akan memupuk kemajuan dalam analisis data dan AI, sejajar dengan inisiatif-inisiatif Ekosistem Digital dan Inovasi Sarawak (SDIE) dan BEC.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda