Thursday, January 9, 2025
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dynamik Technologies kongsi penyelesaian kewangan PMKS

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Dynamik Technologies telah menganjurkan Acara Penyelesaian Pengurusan Kewangan untuk PMKS yang berlangsung di The Nest, Kiulap, hari ini.

    Acara tersebut telah mengumpulkan pemimpin industri, pakar kewangan dan pemilik perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk membincangkan cabaran dan penyelesaian utama dalam pengurusan kewangan.

    Inisiatif itu antara lain bertujuan untuk menyokong PMKS dalam memperkemas amalan perakaunan dan mencapai kejayaan kewangan, sekali gus membolehkannya untuk berkembang ke pasaran yang lebih besar, termasuk Borneo. Acara dimulakan dengan sesi perkongsian bertajuk Perakaunan 101 untuk PMKS oleh Ketua Kewangan di Dynamik Technologies, Rachel Chew.

    Perkongsian beliau merangkumi topik kewangan utama, termasuk memahami penyata kewangan, mengenal pasti dokumen kewangan yang penting dan meneroka pelbagai pendekatan perakaunan dengan fokus pada kebaikan dan keburukannya.

    Selain itu, beliau turut menunjukkan bagaimana pengurusan kewangan boleh dipermudahkan, melalui mempersembahkan demo ringkas tentang penggunaan Excel, yang membuktikan bahawa perisian itu lebih daripada sekadar lembaran kerja, tetapi ia adalah alat yang kuat untuk mengurus kewangan dengan berkesan.

    Acara tersebut turut diisi dengan sesi perbincangan santai bertajuk Menavigasi Perjalanan Perakaunan untuk PMKS, yang menampilkan pakar industri, termasuk Pengurus Pembantu Pengurusan Program di Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Awang Najib Bahrom; Ketua Perbankan Perniagaan di Bank Baiduri, Awang Mohammad Isa Liew; dan Pengasas SOLVE, Awang Farid Ali serta penerima pembiayaan permulaan untuk MOH Edition Startup673.

    Peserta turut diberi peluang untuk menyertai demonstrasi penyelesaian perisian perakaunan terkini, yang dibentangkan oleh Raymond Ho dari Softworld Software, yang mana sesi itu memberikan pandangan berharga tentang bagaimana alat automasi dapat memperkemaskan proses pengurusan kewangan dan meningkatkan kecekapan.

    Awang Najib Bahrom semasa memberi penerangan pada acara berkenaan. – GAMBAR SERAHAN DYNAMIK TECHNOLOGIES
    GAMBAR SERAHAN DYNAMIK TECHNOLOGIES

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda