Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Dalam usaha berterusan untuk menyokong perkembangan sukan wanita, Dynamik Technologies telah menyerahkan tajaan kewangan kepada Persatuan Bola Jaring Kebangsaan (BNA) pada majlis yang berlangsung di pejabat Dynamik Technologies di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa, kelmarin.
Hadir bagi menyerahkan tajaan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Dayang Haslina binti Haji Mohd Taib dan diterima oleh Presiden BNA, Leftenan Kolonel (B) Hajah Wan Shahlimar binti Haji Suhaili.
Seramai 12 orang pemain bola jaring kebangsaan negara akan bertanding di Kejohanan Bola Jaring Asia 2023 yang mengambil tempat di Jeonju, Korea, pada bulan ini.
Semasa ditemui media, Dayang Haslina mengongsikan bahawa Dynamik Technologies sentiasa menyokong generasi muda sama ada dalam teknologi, sukan dan juga pendidikan. Tajaan kali ini, ujar beliau, amat penting kerana ia melibatkan pasukan kebangsaan yang bakal mewakili negara pada masa yang sama melihat lebih banyak kejayaan wanita di negara ini dapat dilihat dalam bidang sukan.