Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dynamik Technologies-UBD meterai MoU

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Dynamik Technologies dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan majlis penandatanganan untuk memorandum persefahaman (MoU) dan kontrak bagi kumpulan kedua mahasiswa Program Headstart, pagi tadi.

    Hadir menyaksikan penandatanganan berkenaan selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Perpustakaan Perniagaan UBD tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, yang merupakan Pengerusi Majlis UBD.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Pengerusi Dynamik Technologies; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle; dan Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Dayang Haslina binti Haji Mohd Taib serta warga pengurusan Dynamik Technologies dan UBD.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, MoU itu menyatakan hasrat UBD dan Dynamik Technologies untuk mewujudkan rangka kerja kerjasama dan perkongsian dalam memanfaatkan kekuatan satu sama lain untuk memajukan usaha akademik, penyelidikan dan teknologi sambil memupuk inovasi, pembangunan dan pertumbuhan bersama.

    Ini mungkin melibatkan latihan kakitangan dan latihan amali pelajar serta tanggungjawab sosial korporat bersama (CSR).

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyaksikan penandatanganan kontrak bagi kumpulan kedua Program Headstart. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar ramai pada majlis berkenaan. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    Ia juga bertujuan untuk menggalakkan pemindahan teknologi dan inovasi antara UBD dan Dynamik Technologies dengan menawarkan platform untuk pertukaran idea, kepakaran, dan kemajuan teknologi untuk memupuk pembangunan dan pengkomersilan penyelesaian dan produk inovatif.

    Menandatangani MoU bagi pihak Dynamik Technologies ialah Dayang Haslina dan Da-yang Siti Rozana binti Dato Paduka Haji Mohd Yunos, manakala itu UBD diwakili oleh Dr Hazri dan Profesor Dr Mohd Ayub Sadiq.

    Acara kemudian disusuli dengan penandatanganan kontrak untuk kumpulan kedua Headstarters yang terdiri daripada dua mahasiswa dari UBD, Awang Abdul Haziq Iman bin Haji A. Mirasin dan Awang Abdul Qaiyum bin Haji Muhammad yang akan dilatih dan diperakui industri dalam bidang masing-masing iaitu Network Administration dan Database Administration.

    Dalam ucapannya, Dayang Haslina berkata adalah penting untuk mengikuti perubahan yang dipacu oleh teknologi revolusi industri ke-4 dan kedua-dua pendidikan dan pembangunan profesional memainkan peranan penting dalam mengisi kekurangan kemahiran dalam teknologi maklumat.

    Program berkenaan bertujuan untuk mempercepatkan pelajar prasiswazah supaya mereka bersedia dalam industri selepas tamat pengajian.

    Beliau seterusnya menyatakan, bahawa pihaknya amat berbesar hati untuk mengongsikan mengenai kumpulan pertama dari UBD telah mencapai SAP Certified Development Specialist in Advanced Business Application Programming (ABAP), sekali gus melayakkan mereka menjadi sebahagian daripada tenaga kerja antarabangsa profesional yang diperakui SAP.

    Pencapaian itu, jelasnya lagi, amat dibanggakan kerana mereka dapat mengimbangi kerja dan pengajian mereka untuk mencapai pensijilan dan mengharapkan sumbangan berterusan mereka kepada Dynamik Technologies dan negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda