Friday, September 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dynamik Trees jadi sumbangan penyelidikan biodiversiti UBD

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Program tanggungjawab sosial terbaharu Dynamik Trees dari Dynamik Technologies mencerminkan komitmen syarikat berkenaan terhadap kemampanan serta usaha yang selari dengan nilai teras pengurusannya untuk membina sebuah warisan bagi generasi akan datang.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Haslina Taib dalam ucapan alu-aluannya semasa pelancaran Program Dynamik Trees yang berlangsung di Pusat Penyelidikan Botani Universiti Brunei Darussalam (UBD BRC), hari ini.

    Hadir sama di majlis berkenaan ialah Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Dr Hazri bin Haji Kifle; Pengarah Institit Penyelidikan Alam Sekitar dan Biodiversiti, Dr Hussein bin Haji Taha, serta pegawai-pegawai pengurusan kanan dari Dynamik Technologies dan UBD.

    Haslina dalam ucapan alu-aluannya lagi menyatakan matlamat mereka adalah untuk memenuhi tanggungjawab dalam memastikan kemampanan sebagai sebahagian daripada amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikatnya dan juga untuk melakukan impak bermakna kepada ekosistem. Sumbangan Dynamik, tambahnya, akan membantu memperkayakan koleksi botani di UBD BRC, memajukan misi penyelidikan, pendidikan serta pemuliharaan flora Brunei yang amat pelbagai.

    Haslina Taib menyampaikan ucapan alu-aluan.

    Terdahulu dalam kata alu-aluannya, Dr Hussein mengongsi bahawa UBD BRC yang merupakan taman botani pertama Negara Brunei Darussalam, adalah komited untuk bekerjasama dengan pihak industri dalam menyokong usaha penyelidikan dan pemuliharaan berterusan pusat berkenaan.

    Dr Hussein menyampaikan kata-kata aluan.

    Beliau menyatakan bahawa kerjasama dengan Dynamik Technologies merupakan peristiwa penting dalam pencapaian penyelidikan UBD BRC dan pokok-pokok yang dipilih untuk diangkat dan ditanam sebagai sebahagian daripada program Dynamik Trees akan dikaji lanjut oleh pasukan penyelidikan di pusat berkenaan.

    Pelancaran program berkenaan menyaksikan acara penanaman pokok yang disempurnakan bersama oleh Haslina Taib dan Dr Hazri bagi menandakan pelancaran program berkenaan serta meraikan Ulang Tahun Dynamik Technologies Ke-23.

    Haslina Taib (kanan) dan Dr Hazri (kiri) menyempurnakan penanaman pokok pada majlis berkenaan.

    Program berkenaan merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) terkini  Dynamik Technologies dengan projek pertama yang dikendalikan bersama Institut Penyelidikan Alam Sekitar dan Biodiversiti, Universiti Brunei Darussalam.

    Menerusi program berkenaan, Dynamik Technologies menyokong pemuliharaan 5 spesis asli di UBD BRC melalui projek Adopt A Tree. Program Dynamik Trees juga telah menyokong penanaman sebanyak 23 pohon spesies pokok asli bernilai tinggi pemuliharaan di UBD BRC pada 18 September lalu.

    Tajaan oleh Dynamik Technologies dan kerjasama dengan UBD BRC memainkan peranan penting dalam menyokong usaha kemampanan dan penyelidikan biodiversiti UBD menerusi tindakan pemuliharaan dan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya melindungi alam semula jadi Brunei.

    Haslina Taib dan Dr Hazri diberikan penerangan mengenai spesies pokok yang ditanam menerusi projek berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda