Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Sempena bulan Ramadan ini, Restoran Dynasty turut menampilkan Promosi Bufet Sungkai dengan tema ‘Cahaya Ramadan’ yang mengetengahkan hidangan masakan Cina.
Untuk tahun ini, Restoran Dynasty membuat kelainan bagi bufet sungkai dan sahur iaitu menampilkan dan menambah beberapa hidangan utama dan pencuci mulut. Perkara ini dijelaskan oleh Cef Ching Keen Wai semasa ditemu bual pada promosi bufet sungkai di restoran berkenaan, hari ini.
Beliau seterusnya menambah, bufet sahur menampilkan 80 peratus hidangan dim sum dan selebihnya hidangan utama yang mana gabungan ini adalah untuk memberi peluang kepada pelanggan membuat pilihan menikmati hidangan sahur
mereka.
Bagi pencuci mulut pula, restoran tersebut menyediakan pelbagai jenis hidangan seperti kek, berbagai-bagai jenis kuih Melayu, buah segar dan banyak lagi. Restoran Dynasty juga tidak terkecuali menyediakan kopi Arab seperti di restoran Royal Brunei Catering lain yang mana ia sesuai dinikmati bersama buah kurma.
Pelanggan yang menikmati bufet sungkai di restoran berkenaan juga diserikan dengan ceramah bertajuk ‘Sedekah’ oleh Awang Yussof Majid.
Sepanjang Ramadan ini, Restoran Dynasty menawarkan bufet sahur dengan harga yang berpatutan.