Sunday, December 22, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dyslexia Cafe MY bantu tingkatkan kesedaran tentang disleksia

    BANGI – Diuji dengan disleksia iaitu masalah berkaitan gangguan pembelajaran, tidak mematahkan semangat Amer Adham Kamaruddin, 22, untuk berjaya seperti individu normal lain.

    Biarpun terpaksa menempuh jalan berliku termasuk sering diperlekeh masyarakat dan rakan ketika di bangku sekolah, anak sulung daripada dua beradik itu menjadikan cabaran tersebut sebagai dorongan untuk bangkit membuktikan golongan sepertinya juga boleh berjaya.

    Di sebalik kesukaran menguasai proses pembelajaran ketika di alam persekolahan, beliau memupuk minat dan kepakaran dalam bidang masakan hingga berjaya membuka kafe sendiri, Dyslexia Cafe MY di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, di sini sejak 2022.

    “Apabila ada disleksia, kawan-kawan selalu ejek dan selalu dikata saya tak pandai…sebab itu, saya perlu ke sekolah khas kerana mengalami masalah pembelajaran.

    “Pada masa sama, saya juga minat memasak dan sering membantu nenek di dapur seawal umur lima tahun lagi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Amer Adham Kamaruddin dan ibunya Nor Haslinda Mohd Hanafiah. – Bernama
    Amer Adham menghantar makanan kepada pelanggan di kafenya. – Bernama
    Amer Adham memasak makanan untuk pelanggannya. – Bernama

    Justeru, bagi mengasah bakat tersebut, Amer Adham tidak melepaskan peluang menyambung pelajaran di Cilantro Culinary Academy selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

    “Selepas belajar, saya menjalani latihan industri di Hotel Pullman KLCC di bawah penyeliaan Cef Syamsul. Di sana, saya berpeluang belajar pelbagai jenis masakan daripada cef lain yang berpengalaman.

    “Selepas tamat praktikal, saya berniaga secara kecil-kecilan di rumah selama dua bulan sebelum dipanggil Cef Syamsul untuk bekerja semula di hotel itu, hinggalah pada November tahun lepas saya memutuskan untuk berhenti kerja dan membuka kafe sendiri,” katanya.

    Bekas murid di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail ini berkata Dyslexia Cafe MY menyediakan pelbagai jenis makanan gabungan barat dan timur, namun disesuaikan mengikut cita rasa tempatan.

    “Tujuan utama kafe ini dibuka bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai disleksia. Ada sahaja ibu bapa yang datang bawa anak-anak mereka ke sini dan minta saya jelaskan dengan lebih lanjut mengenai disleksia,” katanya yang mahir dalam masakan Jepun dan Barat.

    Pada masa sama, suami kepada Nurul Iman Irfannie Izral, 22, ini juga mahu menangkis tanggapan ramai bahawa orang kelainan upa-ya (OKU) tidak boleh berfungsi sebagaimana individu normal.

    “Lihat sahaja, beberapa individu terkenal seperti Tom Cruise dan Altimet pun ada disleksia tetapi mereka juga berjaya mengatasi kekurangan dengan kejayaan masing-masing,” katanya yang turut menggaji rakannya, juga penghidap disleksia, Abdul Qhaliq Al Azfari Muhammad, 25, sebagai cef pastri dan coffee master.

    Amer Adham turut menzahirkan penghargaan terhadap ibunya, Nor Haslinda Mohd Hanafiah, 48, atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepadanya.

    “Ibu adalah insan paling rapat di sisi saya. Dia tidak pernah berputus asa memberi dorongan dan sokongan untuk membuka kafe dan agar saya mampu buktikan kepada orang luar yang saya juga boleh berjaya,” katanya.

    Kini, selepas setahun di Bandar Baru Bangi, Amer Adham berkata operasi Dyslexia Cafe MY terpaksa ditangguhkan seketika kerana akan berpindah ke Pusat Perdagangan Selaseh, Batu Caves, Selangor.

    “Dalam tempoh setahun menguruskan kafe, setiap hari saya perlu berulang-alik dari rumah di Batu Caves, Selangor. Ia sebenarnya satu perjalanan yang jauh dan memenatkan serta melibatkan kos yang tinggi. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, kami akan mula beroperasi di tempat baharu pada akhir Disember 2023,” katanya yang menjadikan cef selebriti, Jamie Oliver sebagai idola. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda