Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    E-buku, Kaji Selidik Pengangkutan Bas Awam dilancarkan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Pada Ekspo Mobiliti Pintar Brunei 2023 di Dewan BRIDEX, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) hari ini telah melancarkan dua inisiatif utama iaitu e-buku Highway Code (HWC) dan Kaji Selidik Pengangkutan Bas Awam.

    Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Hadir bagi menyaksikan pelancaran itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; dan Pengarah Urusan Syarikat Pemasaran Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, MTIC, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku ahli MKKJR; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar selaku Setiausaha MKKJR.

    Sejurus selepas pelancaran itu, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary turut menyaksikan secara langsung Smart Mobility Operation Cloud (SMOC) yang dapat menyediakan beberapa maklumat.

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua dan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi ketika menyaksikan petak pameran dan jualan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menyempurnakan pelancaran tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Astaka MTIC dan MKKJR turut diisi dengan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) seperti perkhidmatan dalam talian, Nomborku, bagi orang ramai yang ingin mendapatkan tanda pengenalan kenderaan (TPK) melalui tawaran tertutup dan terbuka.

    Dalam pada itu, e-buku HWC adalah panduan kod jalan raya terkini yang telah direka dalam bentuk elektronik. Panduan ini merangkumi lima bahagian, termasuk Papan Tanda Lalu Lintas, Tanda Lalu Lintas, Isyarat Lalu Lintas, Akta dan Peraturan Lalu Lintas, dan Peraturan Memandu dan Tingkah Laku Pemandu. Edisi terkini HWC 2023 bertujuan untuk menjadi rujukan pembelajaran dengan maklumat relevan dan terkini, membimbing pemandu dalam pematuhan terhadap peraturan jalan raya, dan menekankan tingkah laku pemanduan yang betul.

    Sementara itu, Kaji Selidik Pengangkutan Bas Awam adalah inisiatif untuk memahami keperluan pengangkutan awam dengan mengumpul pandangan dan input dari pelbagai pihak berkepentingan. JPD akan melaksanakan penggunaan edisi terkini HWC secara berperingkat, dengan sekolah memandu mendapatkannya terlebih dahulu, diikuti oleh orang ramai pada suku pertama tahun 2024.

    Secara amnya kaji selidik tersebut adalah untuk memahami keperluan pengangkutan awam dan meningkatkan lagi kefahaman serta pandangan orang ramai mengenainya.

    Pameran juga memberikan tumpuan kepada usaha MKKJR dalam meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dengan mengaplikasikan teknologi. Buku The Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam versi bahasa Melayu, edisi kedua, yang diterbitkan oleh JPD, dipamerkan sebagai inisiatif di bawah Kumpulan Tindakan Undang-undang dan Penguatkuasaan (KTUP).

    Pameran ini memaparkan juga pemenang Pertandingan Lukisan Poster Keselamatan Jalan Raya bagi Sekolah Rendah Tahun 2023 sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2023 (WDR 2023).

    MKKJR mengajak semua pengguna jalan raya untuk meningkatkan kewaspadaan dan mengamalkan sikap memandu yang berhemah. Keselamatan pemandu adalah keutamaan, dan kesedaran dan kepatuhan terhadap peraturan jalan raya adalah kunci utama dalam mencapai visi MKKJR iaitu Sifar Kemalangan Jalan Raya Maut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda