E-Poster memberiga acara JBP

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengadakan Majlis Penyerahan E-Poster sempena Sambutan Hari Ulang Tahun JBP ke-60 yang berlangsung di Mes Pegawai, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Jalan Landasan Lama Berakas, hari ini.

Hadir bagi menyerahkan poster kepada para penerima ialah Pemangku Pengarah JBP, Lim Hock Guan. Turut hadir ialah penolong-penolong pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, anggota serta kakitangan JBP.

Di majlis berkenaan, Lim Hock Guan menyerahkan E-Poster kepada pegawai-pegawai pemerintah, ketua-ketua bahagian JBP serta pegawai-pegawai perhubungan awam dan wakil kementerian-kementerian serta jabatan-jabatan kerajaan.

Penyerahan E-Poster berkenaan adalah bagi memberigakan lagi acara-acara yang telah disusun dan akan berlangsung sempena Sambutan Hari Ulang Tahun JBP ke-60 bagi Tahun 2020.

Sejajar dengan moto JBP, ‘Keselamatan Kebakaran adalah Tanggungjawab Semua’, jabatan berkenaan juga menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan keselamatan kebakaran seperti Kursus Fire Marshal, Taklimat Keselamatan Kebakaran, Taklimat Life Saver 995 di mana pihak yang berminat boleh berhubung ke Bahagian Perhubungan Awam Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat melalui talian 2382860 atau 2380409 sambungan 111 semasa waktu pejabat.

ATAS & BAWAH: Tetamu kehormat ketika menyampaikan E-Poster kepada wakil kementerian dan jabatan kerajaan.