Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Bank Standard Chartered (StanChart) telah memperkenalkan ciri kad kredit terbaharunya iaitu EasyCash di mana pemegang kad dibenarkan untuk mengeluarkan dana daripada kad kredit mereka dan memasukkannya ke dalam akaun StanChart mereka.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh StanChart, hari ini, jumlah yang dikeluarkan itu kemudiannya boleh dibayar balik melalui tiga pilihan pelan ansuran 12 bulan, 18 bulan dan 24 bulan.
Pemegang kad boleh mengeluarkan dana daripada akaun mereka untuk digunakan bagi keperluan kewangan mereka.
Dalam pada itu, jumlah minimum juga ditetapkan untuk memohon EasyCash dan jumlah maksimum boleh mencapai 95 peratus daripada had kad kredit yang tersedia.
Manakala bayaran pemprosesan akan dikenakan sekali sahaja dan pemegang kad StanChart boleh menghubungi pusat pelanggan bank untuk memohon ciri tersebut.
Ketua Perbankan Perniagaan Swasta Pengguna, Jocelane Basir dipetik berkata bahawa pihak bank begitu berbesar hati untuk memperkenalkan ciri baharu berkenaan untuk ahli kad kredit bank tersebut yang akan memberi mereka lebih fleksibiliti.
“Dengan EasyCash, ahli kad mempunyai pilihan yang cepat, mudah dan berpatutan untuk diperoleh apabila mereka memerlukannya sambil menguruskan pembayaran balik bulanan tanpa faedah,” tambahnya.
