BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk membangunkan lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah melancarkan Akademi Perniagaan Tenaga (EBA) 2.0 pada majlis yang berlangsung di Cenderawasih Ballroom, Kelab Rekreasi Brunei Shell, hari ini.
Hadir pada majlis itu ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Daniel Leong; Pengurus Korporat BSP, Haji Jaafar bin Haji Bakar; Ketua Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) dan Sekuriti BSP, Haji Osmera bin Haji Othman; Pengurus Nilai Dalam Negara BSP, Hajah Rosita binti Haji Hassan dan Pengurus Pembelajaran dan Pembangunan BSP, Dr Hajah Siti Haziah binti POKSMDSP Haji Abidin serta perwakilan daripada syarikat-syarikat terlibat iaitu SPHI Marine, Esca Marine dan Aziz Latif Company yang telah menamatkan program rintis EBA 2.0.
Hajah Rosita dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa EBA 2.0 adalah sebahagian daripada matlamat BSP untuk membangunkan kecekapan perniagaan, keupayaan dan memperbaiki persaingan syarikat-syarikat tempatan.
“Sementara meraikan cerita-cerita kejayaan, terdapat syarikat-syarikat yang masih belum berjaya dan kita patut belajar daripada cabaran-cabaran mereka dan mencari cara untuk membantu meningkatkan peluang-peluang mereka untuk berjaya.

“Inilah pemikiran pelajar yang ingin kami bangunan di mana semua orang boleh mengembangkan keupayaan mereka, belajar daripada kejayaan dan kegagalan dan membuat lebih baik daripada sebelumnya,” tambah beliau.
Menurut kenyataan yang diberikan BSP, sesi rintis EBA 2.0 telah dilancarkan pada Oktober tahun lalu di mana tiga buah syarikat tempatan telah dipilih untuk menyertainya.
Pada majlis pelancaran itu, peserta-peserta perintis telah berkongsi maklum balas positif yang menumpukan bagaimana sesi-sesi tersebut membantu mereka melihat proses mereka sendiri daripada perspektif berlainan dengan alat dan maklumat yang tersedia semasa rintis berkenaan.
Rintis EBA 2.0 juga membantu beberapa peserta mengiktiraf dan menangani jurang dalam organisasi, membolehkan mereka mempelajari cara baharu menjalankan perniagaan dan membuat keputusan lebih strategik.
Kenyataan menyatakan bahawa enam buah syarikat telah dipilih sebagai peserta EBA 2.0 Pusingan 1 untuk bekerjasama rapat bersama jurulatih-jurulatih berpengalaman.
Selain itu, mereka juga digalakkan untuk mencari mentor mereka sendiri menerusi aplikasi mudah alih yang disediakan oleh BSP iaitu Mentor with Us.