Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ebby Yus selamat jalani pembedahan pasang perentak jantung

    Pelakon dan pelawak Malaysia, Ebby Yus, selamat menjalani pembedahan memasukkan perentak jantung di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor pada Khamis lalu.

    Berkongsi perkembangan terkini, Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 58, memberitahu dia kini sedang berehat di rumah selepas dibenarkan pulang kira-kira dua hari lalu.

    “Alhamdulillah saya sedang beransur pulih sebab baru keluar hospital, sekarang ini sedang berehat di rumah sebab dalam masa seminggu ini memang kena jaga lebih sikit.

    “Tangan kiri tidak boleh angkat tangan terlalu tinggi… ada benda yang saya tak boleh buat lagi sekarang ini,” katanya ketika dihubungi mStar.

    Menurut Ebby lagi, dia kini dijaga oleh pengurus sehinggalah keadaan kesihatannya benar-benar sudah pulih.

    Ebby tidak boleh terlalu lasak buat sementara waktu. – Kosmo Digital

    Kata Ebby, dia mengalami beberapa kesan selepas pembedahan antaranya kesukaran untuk tidur kerana kurang selesa dengan tubuhnya.

    “Keluar dari wad pembedahan itu, malam memang saya tak boleh tidur.

    “Walaupun bukan pembedahan yang besar tapi bila masukkan barang dalam badan kita untuk serasi memang ambil sedikit masa,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Ebby memberitahu dia perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan bagi memastikan tubuh badan pulih seperti sedia kala.

    Malah, dia sudah membuat persediaan awal dengan menolak sebarang tawaran lakonan ketika ini, namun bakal kembali beraksi dalam program Sepahtu pada Januari depan.

    “Kalau ikut doktor sebaiknya dua atau tiga bulan (berehat) tapi selepas tiga minggu sudah boleh buat kerja sedikit tapi bukan yang terlalu berat.

    “Banyak benda yang mesti dijaga… semua okay cuma pergerakkan sedikit terhad sebab ada wayar nak kena jaga takut tercabut.

    “Saya mungkin tak boleh ketawa banyak tapi InsyaAllah boleh buat orang ketawa,” kongsinya.

    Sebelum ini, Ebby memaklumkan dia bakal menjalani pembedahan pemasangan perentak memandangkan keupayaan jantungnya kini hanya tinggal 26 peratus. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda