BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Kira-kira 23 orang guru mata pelajaran Travel and Tourism dari sekolah menengah dan maktab kerajaan serta seorang pegawai pelajaran daripada Unit Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah telah membuat lawatan ke Eco Ponies Garden, Kampung Bang Nukat, Lamunin, Daerah Tutong, kelmarin.
Kehadiran rombongan guru berkenaan disambut oleh Pengurus Eco Ponies Garden, Dayang Eyon Ukoi yang turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai Eco Ponies Garden.
Semasa lawatan itu, guru-guru meninjau kemudahan yang ada dan berpeluang untuk mengikuti aktiviti cabaran kulinari di mana guru-guru menyediakan Kuih Nagasari dan Kuih Keria dengan menggunakan bahan-bahan yang telah disediakan.
Tujuan lawatan berkenaan dirancang adalah untuk memahami industri ekopelancongan dan inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh Eco Ponies Garden dalam mempromosi ekopelancongan di Negara Brunei Darussalam.
Melalui lawatan itu, guru-guru mata pelajaran Travel and Tourism diharap akan dapat menggunakan maklumat yang diperolehi untuk diterapkan dalam pengajaran mereka.

Lawatan dianjurkan oleh Sekolah Menengah Berakas yang merupakan ahli Subject Based Committee Travel and Tourism.
Di akhir lawatan, Awang Andree Asmara bin Haji Abidin sebagai ketua rombongan menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada Dayang Eyon Ukoi sebagai tanda penghargaan. Sijil penyertaan yang disediakan oleh Sekolah Menengah Berakas juga disampaikan kepada guru-guru yang mengikuti lawatan berkenaan.
Subject Based Committee adalah sebuah komiti yang mempunyai ahli yang terdiri daripada guru-guru dari sekolah menengah dan maktab kerajaan, sekolah arab dan sekolah swasta.
Jawatankuasa berkenaan adalah platform bagi guru-guru berkongsi strategi pengajaran dan amalan terbaik dan menyediakan bahan-bahan yang bersesuaian seperti nota, soalan latihan dan persediaan mengajar bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Setiap sekolah menengah dan maktab kerajaan dilantik oleh Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan untuk menjadi tuan rumah untuk satu mata pelajaran.
Tuan rumah bagi mata pelajaran Travel and Tourism adalah Sekolah Menengah Awang Semaun.