KUALA LUMPUR, 31 MEI – Pakar kerja-kerja cerucuk dan asas, Econpile Holdings Bhd mengukuhkan lagi kehadirannya di Kemboja dengan memperoleh kontrak cerucuk AS$9.5 juta untuk projek pembangunan aras tinggi bercampur.
Anak syarikat milik penuh Econpile di Kemboja, Global Piling Solutions Co Ltd, memperoleh surat penerimaan daripada Odom Living Co Ltd untuk menjalankan kerja-kerja cerucuk dan dinding ‘diafragma’ bagi pihak Odom Development di Norodom Boulevard, Sangkat Tonle Bassac di Phnom Penh.
Tempoh projek akan mengambil masa selama 248 hari mulai 1 Jun 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Econpile Holdings Bhd, Raymond Pang berkata usaha Econpile dalam mengukuhkan kehadirannya di Kemboja dilihat berjaya membuahkan hasil.
Perolehan kontrak baharu ini katanya merupakan projek kedua mereka di negara itu, meningkatkan lagi reputasi dan meletakkan syarikat dengan baik untuk meraih tender projek pada masa depan.
“Usaha kami untuk menyokong projek aras tinggi ini setara dengan skop kepakaran kami dan membolehkan kami menyokong landskap Kemboja yang berubah-ubah.
“Pasukan jentera kami, pasukan sedia ada serta kebiasaan kami dengan kedinamikan industri di Phnom Penh dilihat dapat memberi kelebihan kami dalam melaksanakan projek ini,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama
