Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ECRL langkah tepat majukan Pantai Timur

    KOTA BHARU, 24 Jun – Keputusan kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disifatkan sebagai langkah tepat kerana projek itu dilihat mampu bertindak sebagai pencetus perubahan kepada ekonomi pantai timur.

    Badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) yang menyambut baik keputusan itu berkata projek itu bakal menjadi pemangkin kesaksamaan ekonomi antara pantai timur dan pantai barat sekali gus menutup jurang antara kedua-dua kawasan itu.

    Presidennya Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata laluan sepanjang 600 kilometer itu bakal membawa banyak impak sosioekonomi kepada kawasan luar bandar dan bandar yang dilaluinya.

    Katanya projek ECRL yang dijangka siap pada 2024 itu juga akan mewujudkan pelbagai peluang kerja baharu sekaligus mengurangkan kadar penghijrahan golongan muda Kelantan ke negeri-negeri lain selain meningkatkan ekonomi tempatan terutama sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    Projek ECRL itu juga dilihat sebagai penyelesaian tunggal mengatasi masalah kesesakan jalan raya di pantai timur terutamanya pada musim perayaan dengan tempoh perjalanan sehingga 14 jam, katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sheikh Ahmad Dusuki berharap projek itu tidak dipolitikkan demi kebaikan negara dan keselesaan rakyat khususnya penduduk di Pantai Timur. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda