Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Delegasi Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada 6 orang pelajar Tahun 10 dan 2 orang guru pengawas serta 2 orang pegawai Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), Kementerian Pendidikan telah berlepas untuk menghadiri program The 10th ASEAN Plus Three Junior Science Odyssey (APTJSO-10) yang berlangsung di Siem Reap, Kemboja.
Program APTJSO-10 yang dianjurkan oleh Kementerian Industri, Sains, Teknologi dan Inovasi (MISTI), Kemboja dengan kerjasama ASEAN+3 Centre for the Gifted in Science (ACGS) dan disokong oleh ASEAN akan berlangsung pada 22 hingga 26 Julai di Siem Reap, Kemboja.
Sehubungan dengan itu, hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin, untuk mengucapkan selamat belayar kepada delegasi ialah Ketua EDGE, Dr Mona Aliana binti Dato Paduka Awang Haji Mohd Alimin.
Penyertaan bagi delegasi Negara Brunei Darussalam dibahagikan kepada dua pasukan iaitu Pasukan A dan Pasukan B.
Pasukan A terdiri daripada Awang Nu’man bin Lamun, Dayang Noor Izatol Syafiqah binti Haji Saiami dan Dayang Barizah Anya Syasya binti Haji Romi Irwin iaitu pelajar-pelajar Jerudong International School (JIS) yang diiringi oleh Awang Hafiz Aizuddin bin Haji Ansanawi, Guru Pengawas selaku Mentor dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali.
Manakala Pasukan B terdiri daripada Awang Zayyan Aaryan bin Noorhadzrin, Dayang Alya Irdina binti Muhammad Shahmun Azimin dan Dayang Sharifah Ayesha Al-Insyirah binti Shaikh Sharul Azhar iaitu pelajar-pelajar International School Brunei (ISB) yang diiringi oleh Dayang Nurul Faizah binti Ya’akub, Guru Pengawas selaku Mentor dari Sekolah Menengah Berakas.
Sementara pegawai-pegawai daripada EDGE yang menyertai program berkenaan ialah Dayang Rozi-Suzanah binti Yatab selaku wakil Sekretariat dan Dayang Lunayati binti Tuah selaku Ketua Delegasi dan Pegawai Penghubung bagi program berkenaan.
Setiap pasukan telah diberi tugasan awal untuk menghasilkan video yang berdurasi 3 minit berpandukan kepada tema APTJSO iaitu Racing Up Against Climate Change untuk dipertandingkan semasa di APTJSO-10 nanti.
Melalui program itu, semua delegasi akan berpeluang untuk menyertai aktiviti seperti program orientasi, kuliah, Meet and Talk With Scientists, eksperimen dan penilaian makmal, pembentangan secara berkumpulan, lawatan sambil belajar serta pertukaran budaya.
APTJSO merupakan program tahunan yang mensasarkan pelajar-pelajar berumur antara 13 hingga 15 tahun dari negara-negara ASEAN+3 dengan tujuan untuk menggalakkan dan mencabar peserta dalam keupayaan intelek sains dan teknologi mereka serta untuk merangsang rasa ingin tahu melalui pengalaman praktikal mengenai eksperimen dan kajian yang menarik.
Penyertaan Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam bagi program berkenaan telah diselaraskan oleh Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE).