KUCHING, 2 SEPT – EdgePoint Infrastructure (EdgePoint), sebuah syarikat infrastruktur telekomunikasi bebas berpangkalan di ASEAN telah mengembangkan program Connectivity for Communities (CFC) dengan pelancaran dua lagi bilik darjah digital di Sabah dan Sarawak.
EdgePoint dalam kenyataan hari ini memaklumkan kemudahan berkenaan disediakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Abai, Kota Belud, Sabah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No. 1 di Sarawak dengan pelaksanaannya di SMK Simunjan No. 1 adalah hasil kerjasama dengan rakan tempatan, Demanlink Connexion Sdn Bhd.
Dengan penambahan terbaharu itu, syarikat tersebut telah melancarkan empat bilik darjah digital di Malaysia dan 14 di seluruh ASEAN, sekali gus mengukuhkan misi mereka untuk memupuk keterangkuman digital dan merapatkan jurang ketersambungan dalam komuniti yang memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers, Muniff Kamaruddin, berkata pelancaran bilik darjah digital di kedua-dua negeri itu mencerminkan komitmen mereka untuk merapatkan jurang digital di Malaysia Timur.
Beliau berkata, EdgePoint kekal komited untuk meluaskan akses digital kepada komuniti yang memerlukan, dengan manfaat program CFC bukan hanya kepada pelajar tetapi juga masyarakat sekitar melalui peningkatan ketersambungan dan kualiti hidup. – Bernama


