PARIS, 5 Nov – Edinson Cavani mencapai satu gol ke-100 dalam Ligue 1 setelah menjaringkan dua gol dalam kemenangan 5-0 Paris Saint-Germain ke atas Angers, sementara Neymar direhatkan kerana cedera.
Pemain termahal dunia itu diketepikan dari Perlawanan di Stade Raymond Kopa itu kerana mengalami masalah paha dalam kemenangan pertengahan minggu
Liga Juara-Juara ke atas Anderlecht, tetapi dia tidak dirindui apabila PSG mengekalkan pendahuluan empat mata ke atas Monaco di puncak liga.
Kylian Mbappe dan Julian Draxler masing-masing menjaringkan gol di awal perlawanan dan Cavani menemui sasaran gol ke-100 dalam liga teratas Perancis ketika perlawanan memasuki setengah jam.
Penyerang Uruguay itu sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-60 sebelum Mbappe menjaringkan gol keduanya di hujung perlawanan bagi gol keenamnya dalam 12 penampilan untuk kelab itu.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P24-B_061117.jpg)
“Bagi seorang penyerang ia adalah penting untuk menjaringkan banyak gol jadi anda boleh memberikan sesuatu kepada pasukan anda,” kata Cavani.
“Saya gembira, tetapi saya tidak begitu memikirkan rekod dan statistik. Saya hanya mahu memberikan yang terbaik untuk pasukan saya, itu sahaja.”
Lima gol dalam dua kemenangan berturut-turut bagi PSG bermakna mereka masih belum tewas dalam semua persaingan musim ini, sementara Angers masih belum meraih sebarang kemenangan di laman sendiri.
PSG juga tanpa pemain Marquinhos dan Angel Di Maria, kerana pasangan masing-masing telah melahirkan anak baru-baru ini.
Gol pembukaan mereka hadir dalam lima minit pertama apabila Mbappe menyudahkan hantaran lintang Dani Alves, dan ia kemudian menjadi 2-0 oleh Draxler. – AFP