Edisi ke-8 SWB fokus teknologi makanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Edisi kelapan Minggu Startup Brunei (SWB) akan diadakan pada 6 hingga 8 Disember ini di Kolej Perdagangan Laksamana (LCB).

Acara yang diadakan bersempena Festival Disember Brunei 2019 dengan sokongan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) berkenaan dianjurkan oleh pemimpin-pemimpin SWB yang terdiri daripada sepasukan usahawan daripada startup berlainan iaitu EICO Enterprise, InTurn Co. and The Creative Core BN yang berpangkalan di iCentre, Taman Teknologi Anggerek Desa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SWB, acara juga dianjurkan dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARe) selaku rakan ekosistem, Progresif selaku rakan strategik, LCB sebagai penaja tempat dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei dan Thirsty Habit sebagai penaja-penaja hadiah.

Kenyataan menyatakan, SWB Edisi Teknologi Makanan ini akan menumpukan ke atas bagaimana menangani dan mengatasi masalah-masalah dalam bidang makanan.

Dengan elemen-elemen teknologi dan inovasi, para peserta mesti bekerjasama dan merevolusikan industri makanan dalam masa 54 jam. Para peserta perlu mencari cara untuk membuatkan sistem makanan di negara ini efisien di dalam dan luar negara, terutamamnya dengan pertumbuhan pesat penduduk dunia.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat bolehlah mendaftar dengan bayaran. Pendaftaran akan ditutup pada jam 10 malam esok (5 Disember).

Startup Weekend adalah acara 54 jam yang menghimpunkan usahawan-usahawan aktif dan diperkasa yang mempelajari asas memulakan startup dan melancarkan usaha sama berjaya.

Dipacu oleh Google untuk Startups dan Techstars, Startup Weekend adalah pergerakan akar umbi usahawan-usahawan global dengan misi untuk memberi inspirasi, mendidik dan memperkasa masyarakat untuk melancarkan idea-idea yang mengubah kehidupan.