Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    EDP fokus pembangunan tenaga manusia

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Seramai 30 orang pegawai kanan menyertai Program Perkembangan Eksekutif (EDP) bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan ke-15 yang telah bermula kelmarin dan akan berlangsung sehingga 6 Disember depan.

    Majlis pembukaan rasmi program anjuran Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) itu telah diadakan hari ini di Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Pertahanan.

    Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa EDP merupakan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dalam memperkembangkan tenaga manusia dan memastikan pegawai-pegawai dalam peranan kepimpinan mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam persekitaran yang sentiasa berubah dan cabaran-cabaran yang meningkat.

    Dalam menyokong pendekatan seluruh negara dan seluruh kerajaan, tambah beliau, program tersebut merupakan salah satu cara memberi sumbangan terhadap pembangunan negara dan mempertingkatkan keupayaan organisasi dalam menghadapi cabaran-cabaran berkenaan.

    Oleh itu, beliau menggalakkan para peserta untuk memahami, mendalami dan menyumbang kepada strategi-strategi Wawasan Brunei 2035.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif (Pengajian Eksekutif) Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew NUS, Profesor Madya Francesco Mancini, timbalan pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi dan duta besar yang berkenaan, setiausaha-setiausaha tetap serta wakil dari kementerian dan agensi kerajaan, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB serta beberapa orang wakil daripada NUS.

    Pada tahun ini, program disertai oleh 20 orang pegawai kanan tentera (berpangkat leftenan kolonel) dari ABDB, seorang pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), lima orang pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Biro Kawalan Narkotik, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali serta empat orang pegawai kanan tentera luar negara, masing-masing seorang dari Malaysia, Singapura, Filipina dan Oman.

    Program yang direka dan dibangunkan dengan fokus kepada dasar awam dan pengurusan itu akan dikendalikan oleh ahli-ahli akademik dan pakar-pakar berpengalaman tinggi.

    Sebagai tambahan, program berkenaan juga meliputi penceramah-penceramah jemputan tempatan bagi memberikan pemahaman lanjut mengenai persekitaran strategik Negara Brunei Darussalam dan memuatkan lawatan sambil belajar ke kementerian-kementerian dan agensi yang berkaitan bagi memberikan pendedahan lanjut kepada para peserta mengenai pelaksanaan dasar awam.

    Antara yang hadir di majlis pembukaan rasmi Program Perkembangan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan anjuran Kementerian Pertahanan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda