Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    EDPMMO PPDB kali ke-4 labuh tirai

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Program Pembangunan Eksekutif Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kali ke-4/2024 yang berlangsung selama sembilan minggu bermula 19 Ogos hingga 18 Oktober 2024 telah melabuh tirai dengan majlis penutup dan penyampaian sijil di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Gadong, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin.

    Turut hadir, Penolong Naib Canselor (Pendidikan), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Madya Pengiran Dr Mohd Iskandar bin Pengiran Haji Petra serta pengarah dan wakil-wakil pengarah/ pengawal dari agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang terlibat.

    Dalam ucapannya, penyelaras Program EDPMMO PPDB kali ke-4, Awang Emil Zahrin bin Haji Ali menekankan bahawa program ini telah memberikan peserta peluang untuk memantapkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang amat relevan, sejajar dengan keperluan dan cabaran semasa yang dihadapi oleh PPDB serta agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang.

    Sepanjang program itu, peserta telah didedahkan kepada pelbagai cabaran yang menguji karakter kepimpinan mereka dalam situasi yang di luar zon selesa. Mereka juga diberi pendedahan terhadap penggunaan teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memperluaskan ilmu pengetahuan, memperkukuh kepakaran serta meningkatkan pemahaman mereka terhadap aplikasi teknologi dan transformasi digital dalam tugas harian.

    Selain itu, peserta juga berpeluang mendalami peranan komunikasi strategik dalam menangani krisis serta menghayati kepentingan etika, integriti, akauntabiliti dan tadbir urus Islam sebagai panduan dalam membuat keputusan yang mampan.

    Modul-modul yang diterapkan dalam program ini telah memperluaskan perspektif peserta terhadap isu-isu kritikal di peringkat serantau dan global yang turut memberi impak kepada keselamatan negara

    Majlis yang dikendalikan oleh PPDB dengan kerjasama Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), UBD itu disertai oleh 15 pegawai kanan dari PPDB serta lima pegawai kanan dari agensi penguatkuasaan undang-undang, iaitu Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama (BPU), Bahagian Penguatkuasaan Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Gambar ramai peserta yang hadir pada EDPMMO PPDB kali ke-14 pada majlis yang diadakan di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Gadong, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda