Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    EduTALK lengkapkan para pendidik dengan rangka kerja teras Islam

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Kementerian Pendidikan melalui Unit Tenaga Pengajar, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Jabatan Pengurusan Pendidik telah mengadakan EduTALK 2025 sempena Sambutan Hari Guru ke-35 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada sesi petang hari pertama acara berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta para pegawai dari Kementerian Pendidikan.

    Sesi petang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Imam Masjid Universiti, UBD, Pengiran Muhd Nasiruddin bin Pengiran Haji Abu Bakar, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan selaku Pengerusi EduTALK 2025, Dayang Masdiah binti Haji Tuah.

    Sesi diteruskan dengan pembentangan ucaptama bertemakan, Tarbiyah dan Taqwa: Meningkatkan Kesejahteraan Sosio-Emosi dan Psikososial Pendidik di Brunei Darussalam, yang disampaikan oleh penyampai ucaptama, Hilman Fauzi iaitu seorang sarjana Islam, penceramah motivasi dan ahli akademik yang terkemuka yang membawa pengalaman luas dalam meneroka ilmu Islam tradisional dengan cabaran pendidikan semasa.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa menghadiri sesi EduTalk berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Dayang Masdiah menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Hilman Fauzi menyampaikan ucaptama pada sesi berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    ATAS & BAWAH : Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    EduTALK 2025 diadakan selama dua hari bermula 5 hingga 6 November, di mana ia merangkumi empat sesi pada waktu pagi dan petang yang dilaksanakan dengan format yang sama dan dihadiri oleh seramai 6,700 orang pendidik yang terdiri daripada para guru dan pemimpin sekolah dari seluruh negara.

    EduTALK 2025 bermatlamat untuk melengkapkan para pendidik di Negara Brunei Darussalam dengan alat praktikal dan rangka kerja berteraskan Islam bagi mengekalkan kesejahteraan mereka, khususnya daripada aspek sosio-emosi dan psikososial.

    Melalui pelaksanaan EduTALK itu, inisiatif berkenaan diharapkan dapat memupuk tenaga pengajar yang berlandaskan nilai kerohanian dan keteguhan jiwa dengan menyelaraskan prinsip-prinsip Islam iaitu Tarbiyah (pembangunan holistik) dan Taqwa (keinsafan terhadap Allah SWT), bersama pandangan psikologi kontemporari dalam menyokong kesejahteraan pendidik.

    Selain itu, ia juga direka untuk menyokong para pendidik di Negara Brunei Darussalam dengan menyediakan sebuah rangka kerja yang mampan serta membolehkan mereka mengharungi cabaran profesional, memupuk perkembangan peribadi dan seterusnya memperkayakan pengalaman pembelajaran untuk pelajar serta komuniti yang lebih luas, sekali gus memastikan sistem pendidikan yang teguh dan penyayang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda