KUALA LUMPUR, 8 NOV – Pemain beregu campuran nombor satu Malaysia, Toh Ee Wei mengakui beliau tidak dapat memberi jaminan akan kembali kepada prestasi mengagumkan selepas Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Ee Wei, yang akan kembali ke gelanggang selepas mengalami kecederaan September lepas berkata sebaliknya, beliau akan memberi tumpuan untuk mendapatkan semula rentak dalam dua kejohanan, iaitu Masters Jepun 2024 diikuti Masters China 2024 bulan ini.
“Sudah lebih sebulan saya tidak menyertai sebarang kejohanan. Saya tidak tahu apa akan terjadi, tetapi ketika bermain, saya akan cuba melakukan yang terbaik.
“Tiada siapa yang mahu kalah dan kami akan berjuang untuk setiap mata dalam kejohanan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Masters Jepun 2024 akan diadakan dari 12-17 November di Kumamoto manakala Masters China bakal berlangsung bermula 19 hingga 24 November ini di Shenzhen.
Selepas tersingkir pada pusingan suku akhir Olimpik 2024, Chen Tang Jie-Ee Wei meneruskan aksi dalam empat kejohanan termasuk memenangi Terbuka Korea 2024 dan berjaya ke separuh akhir Terbuka Hong Kong 2024.
Bagaimanapun, kemaraan mereka terhenti apabila Ee Wei memerlukan 16 jahitan di lengan kirinya akibat kemalangan di Gimnasium di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. – Bernama