Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    EGC himpunkan pengusaha tempatan, kerajaan dan swasta

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Acara Enterprise Growth Connect (EGC) merupakan sebuah inisiatif yang signifikan yang mana ia menghimpunkan perusahaan tempatan, agensi-agensi kerajaan dan rakan kongsi sektor swasta dalam usaha bersepadu untuk mengukuhkan keupayaan serta membuka peluang-peluang pertumbuhan yang baharu.

    “Ini merupakan teras kepada Pelan Tindakan Ekonomi, yang menekankan inovasi, pembangunan perusahaan dan integrasi yang lebih kukuh antara sektor awam dan swasta. Saya berharap inisiatif ini akan terus membawa kita lebih dekat kepada ekonomi yang dinamik dan mampan, ” ucap Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) dan Timbalan Pengerusi Bersama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid semasa menyampaikan ucaptama di Enterprise Growth Connect (ECG) 2025 yang berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, hari ini.

    Beliau seterusnya berkata, tema acara Memperkasa Penyertaan Tempatan adalah amat bertepatan apabila ia memberikan penekanan kepada usaha berterusan untuk memastikan perniagaan-perniagaan Brunei khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), diperkasa dan memainkan peranan mampan serta aktif dalam rantaian nilai negara.

    Kita ingin untuk melihat lebih banyak syarikat Brunei bergerak keatas rantaian nilai iaitu membekalkan, berinovasi dan bekerjasama dengan pemain industri yang lebih besar, bukan sahaja untuk memenuhi permintaan domestik tetapi juga untuk bersaing di peringkat serantau.

    “Apabila perniagaan tempatan kita berkembang, begitu juga kapasiti negara kita, penciptaan pekerjaan dan daya tahan ekonomi kita,” jelas Dato Seri Paduka Haji Khairuddin lagi.

    Pada masa yang sama, tambahnya lagi, kita juga mengenali akan peranan penting pelaburan langsung asing (FDIs) dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dalam membentuk landskap ekonomi Brunei.

    “Para pelabur ini bukan sahaja membawa modal dan kepakaran tetapi juga bertindak sebagai rakan kongsi yang berharga dalam membangunkan pembekal tempatan, bakat dan kapasiti inovasi.”

    Hubungan yang lebih kukuh antara FDIs, GLCs dan perusahaan tempatan dapat memastikan bahawa pelaburan menyumbang kepada mendalamkan penyertaan tempatan dan penjanaan nilai jangka panjang.

    Dalam hubungan itu, ulasnya, BED telah dan akan terus memainkan peranan penting dalam memajukan Nilai Dalam-Negara (ICV) dan mengukuhkan PMKS.

    Melalui platform DARe LINKS, pihaknya telah secara aktif menyokong pertumbuhan perusahaan tempatan dengan peluang-peluang sosialisasi berterusan, mengendalikan taklimat vendor dan mengembangkan kesedaran industri mengenai permintaan masa kini serta akan datang.

    “Usaha-usaha ini membantu memastikan perniagaan Brunei mempunyai maklumat yang mencukupi, lebih bersedia dan semakin berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menyertai secara bermakna dalam segmen bernilai lebih tinggi dalam rantaian bekalan negara kita.”

    Di samping itu, BEDB juga dalam fasa awal melaksanakan pemetaan keupayaan dengan rakan-rakan kongsi industri utama untuk memahami dengan lebih baik kompetensi sedia ada, mengenal pasti jurang dan memeta hala tuju bagi penyertaan tempatan lebih mendalam dalam bidang projek khusus atau yang sering menggunakan penyumberan luar atau outsource.

    “Contohnya, melalui penglibatan dengan agensi seperti Maritime and Port Authority of Brunei Darussalam (MPABD) dan pelabur utama seperti Hengyi Industries Sdn Bhd, pemetaan keupayaan ini bertujuan untuk menentukan di mana perusahaan tempatan boleh memainkan peranan yang lebih strategik dan aktif dalam menyampaikan penyelesaian, perkhidmatan dan inovasi.”

    Beliau menekankan bahawa usaha itu akan membimbing inisiatif pembinaan kapasiti yang disasarkan, memperkukuh penjajaran industri dan membuka pintu kepada PKS untuk menyumbang dengan lebih ketara kepada projek negara dan pembangunan sektoral.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menyampaikan ucaptama pada ECG 2025, hari ini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda