Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) terus komited untuk memupuk kerjasama dan memperkasakan perniagaan Brunei bagi mengambil bahagian serta menyumbang secara bermakna dalam pembangunan ekonomi negara.
“EGC menyediakan platform untuk PKS berhubung secara langsung dengan pelanggan, membina kesediaan, dan merebut peluang sebenar. Tema tahun ini, Memperkasakan Penyertaan Tempatan mencerminkan visi bersama kami untuk memastikan PKS kita bukan sahaja disertakan tetapi mereka juga berada dalam kedudukan aktif untuk menyumbang, menyampaikan dan memimpin dengan keupayaan dan keyakinan dalam membina rangkaian bekalan domestik yang lebih kukuh,” ujar Pengarah Pembangunan Perusahaan (DARe), Dayang Norlela Suhailee dalam ucapan alu-aluannya semasa acara Enterprise Growth Connect (EGC) 2025 yang berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, hari ini.

Hadir dan menyampaikan ucaptama pada acara berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) dan Timbalan Pengerusi Bersama BEDB, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

Acara yang dianjurkan oleh BEDB itu menghimpunkan lebih 500 orang peserta termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan serta 28 rakan kongsi dari pelbagai agensi dan industri, mengetengahkan lebih 140 peluang perniagaan bermatlamat untuk mengukuhkan ekosistm perusahaan, dan rantaian bekalan tempatan Brunei.
EGC, merupakan acara utama yang dikuasakan oleh DARe LINKS serta merupakan inisiatif oleh BEDB yang berfungsi sebagai saluran utama bagi memudahkan penglibatan pelanggan-vendor (B2B) yang bertujuan untuk memacu kepelbagaian ekonomi, nilai dalam negara dan pertumbuhan sektor swasta.
Acara berkenaan mengetengahkan sebuah rangkaian sesi interaktif yang komprehensif dan berasaskan pengetahuan yang direka untuk membantu perniagaan mengenal pasti peluang baharu, mengembangkan rangkaian mereka dan mengenal pasti keperluan keupayaan bagi memperkukuh daya saing.
Program itu merangkumi pelbagai sesi termasuk Sesi Tinjauan Peluang untuk memberikan pandangan tentang projek dan trend industri yang akan datang; Ceramah Kesediaan Vendor untuk memberikan pandangan tentang keperluan projek; Perbincangan Kumpulan Fokus untuk berkongsi pandangan dan cabaran; Klinik Khidmat Nasihat untuk konsultasi secara individu dengan pakar; Sesi Pemadanan Perniagaan dan Hubungan untuk menghubungkan PKS dengan pelanggan dan rakan kongsi serta Pameran Pempamer untuk mengetengahkan peluang perniagaan.
Pengurus Kanan dan Ketua Perhubungan Pengurusan DARe, Nurul A’in Haji Jaafar menekankan hasil nilai dalam negara yang kukuh, hanya dapat dicapai apabila sektor awam dan swasta bekerjasama dengan rapat.
“Enterprise Growth Connect memudahkan perbualan dan hubungan penting ini, memastikan perniagaan tempatan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk membekalkan, bekerjasama dan kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi Brunei yang sedang berkembang,” ujar Nurul A’in.

Semasa membentangkan sesi Tinjauan Peluang, Pengurus Operasi Anson International, Abu Syahmi Abdul Rahman berkata BEDB melalui platform pemadanan perniagaan dalam talian DARe LINKS telah membolehkan syarikat itu mengiklankan 20 kontrak berpotensi untuk aktiviti marin dan penyahtauliahan yang akan datang di Pulau Muara Besar.
“Platform seperti DARe LINKS, yang disokong oleh acara seperti EGC, telah membolehkan kami berhubung dengan perniagaan tempatan dengan lancar,” katanya, sambil menyatakan bahawa Anson menggunakan DARe LINKS secara eksklusif untuk proses perolehan mereka.
“Bagi projek berskala ini, adalah penting bagi kami untuk mengenal pasti rakan kongsi tempatan yang berkebolehan lebih awal, dan EGC menyediakan ruang yang tepat untuk itu. Sambutan daripada PKS amat menggalakkan, dan kami melihat potensi yang kukuh untuk lebih banyak syarikat tempatan menyertai operasi kami ketika kami bergerak maju,” tambah Rahman.

Sementara itu, pengasas Solara X, Ian Ong berkata EGC menyediakan pandangan komprehensif mengenai jangkaan pasaran dan laluan praktikal untuk PKS berkembang.
“EGC menyatukan semua yang kami perlukan daripada pandangan industri, keperluan keupayaan, hubungan perniagaan dan peluang sebenar di bawah satu bumbung. Peluang dan sesi pemadanan perniagaan amat berharga. Kami akan memulakan langkah seterusnya yang jelas untuk menaik taraf operasi kami, mengukuhkan daya saing kami dan merancang pertumbuhan kami dalam landskap ekonomi Brunei yang semakin berkembang,” ulas Ian Ong.
BEDB terus menyokong perusahaan Brunei melalui inisiatif berterusan untuk memastikan perkongsian dan pandangan yang dijalin di EGC 2025 membawa kepada pertumbuhan perusahaan yang boleh diukur dan berterusan.
Semua di atas: Antara peserta yang menghadiri acara berkenaan.
