Friday, October 18, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eging semakin mendapat tempat

    Oleh Raz AS

    Mencandat atau juga dikenali sebagai eging merupakan teknik yang telah digunakan oleh pemancing di seluruh dunia untuk menjerat spesies sotong dan kurita, dan baru-baru ini semakin mendapat tempat dalam kalangan pemancing di negara kita.

    Dipercayai berasal dari negara matahari terbit, Jepun, teknik penggunaan candat atau egi, telah tersebar ke seluruh dunia kerana ia mudah dan sangat efisien. Tambahan lagi dengan pelbagai spesies sotong boleh ditemui di hampir seluruh pelosok dunia.

    Selain ia seronok dan boleh dilakukan oleh pemancing-pemancing tebing dan bot, awda tidak perlu mempunyai tahap kemahiran yang tinggi untuk menguasai teknik mencandat.

    Asalkan kena dengan musimnya, trip memancing awda berkemungkinan besar akan berjaya.

    Seperti kelaziman dalam penggunaan teknik umpan tiruan lainnya, penggunaan joran dan reel boleh dikatakan satu keperluan untuk menggunakan candat atau egi, meskipun sebenarnya aktiviti mencandat sotong boleh dilakukan dengan kirikan di atas bot.

    Dipercayai berasal dari negara matahari terbit, Jepun, teknik penggunaan candat atau egi, telah tersebar ke seluruh dunia kerana ia mudah dan sangat efisien.
    Umpan candat menyerupai krustasea udang yang digunakan untuk memancing sotong.

    Pada masa kini, banyak joran dan reel yang direka khas tersedia di pasaran untuk tujuan mencandat. Namun begitu, ia bukanlah satu kemestian selagi mana peralatan joran dan reel yang digunakan adalah bersesuaian.

    Reel yang digunakan adalah daripada jenis berkelajuan tinggi seperti 6.2:1 yang mampu menggulung tali kira-kira hampir 100 sentimeter sekali pusingan atau minimum, kira-kira 70 sentimeter. Ini adalah untuk membolehkan awda menggulung lebihan tali dengan cepat setiap kali joran dihenjut.

    Saiz reel yang sesuai digunakan adalah mengikut kepanjangan joran. Sama ada saiz 2500 atau 3000.

    Secara amnya terdapat dua teknik mudah untuk menggayakan candat. Pertama, candat dilontar sehingga mencecah ke dasar dan kemudian joran dihenjut-henjut, setiap 15 hingga 20 saat, sebanyak tiga hingga empat kali untuk meniru anak ikan dan udang yang melarikan diri atau tercedera.

    Teknik kedua pula adalah dengan melontar candat dan mula mengira saat sebaik ia mencecah air untuk sampai ke tahap kedalaman yang dimahukan. Setelah itu candat digulung terus dengan perlahan.

    Teknik pertama sesuai digunakan ketika sotong sedang aktif mencari makan, manakala teknik kedua pula lebih sesuai digunakan ketika sebaliknya.

    Walau bagaimanapun, pemancing juga boleh mencampurkan kedua-dua teknik ini dalam setiap balingan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda