MENGAPA perempuan terlalu ego dalam sesetengah perkara hidupnya? Adakah layak seorang perempuan digelarkan ‘ego’ hanya kerana beberapa sebab yang mungkin tidak berpihak kepada lelaki? Manakala individu yang digelar ego itu sangat tidak jelas bahawa dirinya adalah seorang egois atau hanya melindungi haknya atau juga mempertahankan dirinya daripada keadaan yang tidak memihak kepadanya. Jadi bagaimana cara kita untuk mengenali ciri-ciri perempuan yang ego tanpa sebab kukuh untuk bertindak ego sedemikian rupa.
Situasi perempuan ego
Ego adalah terma agak moden berbanding keras kepala yang agak klasik. Namun kedua-dua ini adalah sama. Keras kepala bukan bermaksud kepalanya keras tetapi istilah seseorang yang tetap dengan keputusan dan pendiriannya walaupun telah dinasihati, diberi pandangan berkenaan sesuatu perkara yang mungkin mendatangkan risiko dan mudarat ke atas dirinya, orang di sekelilingnya atau orang bawahannya atau juga mana-mana orang berkaitan dengannya. Dengan kata lain, perempuan tersebut ego dan tidak mahu mendengar nasihat orang lain. Pada situasi ini adalah sesuai bagi merujuk seorang perempuan yang memiliki kuasa atau kedudukan dalam hierarki sebuah organisasi. Kata-katanya adalah arahan dan muktamad walaupun majoriti tidak menyokongnya.
Manakala dari sudut hubungan antara lelaki dan perempuan pula, istilah ego biasa digunakan untuk merujuk kepada kegagalan seorang perempuan untuk memuaskan hati seorang lelaki sama ada dalam aspek rujuk kembali, akur pada kehendak, kesudian menerima permohonan maaf dan sebagainya. Dari sudut lain, hal ini melibatkan hati dan perasaan dalaman yang mana jika hati perempuan telah disakiti, egonya akan menjadi lebih tinggi daripada biasa dek kerana penilaiannya terhadap situasi yang mungkin tidak menguntungkannya.
Ego juga boleh menyebabkan wabak yang melarat dalam rumah tangga jika tidak diatasi dengan segera. Dengan pasti dalam hubungan suami isteri pelbagai keputusan perlu dibuat bersama dan harus mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak sama ada lelaki atau perempuan walaupun lelaki adalah ketuanya. Elemen ego boleh mencacatkan suasana semasa proses akhir sama ada menerima atau menolak hasil perbincangan suami isteri. Paling teruk jika isteri berlalu pergi dan tetap dengan pendiriannya.


Ciri-ciri perempuan ego
Tanda perempuan ego boleh dianggap sama dengan tanda lelaki ego kerana keduanya melibatkan keangkuhan seseorang untuk:
1.Tidak menerima pendapat orang lain mengenai sesuatu perkara. Bila sudah keras kepala, memang perempuan akan ikut naluri perempuannya sahaja tanpa memperdulikan pendapat orang lain lagi.
2.Tidak mendengar nasihat orang lain yang rendah kedudukan pangkat darinya. Bila dapat bos perempuan begini, memang menyakitkan hati. Kata-kata dia, dia sahaja yang betul walau hakikatnya orang bawahannya mempunyai pandangan yang berbeza darinya.
3.Memberontak atas sebab pandangannya ditolak. Ego memakan diri. Memberontak sehingga lari sana sini, cerai sana sini, ikut orang lain dan sebagainya. Apa yang kita lihat mungkin berbeza daripada sisi pandangan orang lain. Mungkin kita mengalami blind-spot tetapi tidak bagi orang lain. Memberontak! Muka masam, kunci pintu bilik, protes tidak menjamu makanan dan banyak lagi cara memberontak yang akan dilakukan.
4.Menolak hubungan dengan lelaki kerana perbezaan darjat. Darjat dan kedudukan sesekali mengangkat ego seorang perempuan ke atas lebih tinggi.
5.Mengingkari larangan suami walau untuk kebaikannya. Seorang isteri wajib menuruti kehendak suami selagi mana bukan kehendak yang akan memudaratkan isteri.
Walau bagaimanapun, jika seorang perempuan tidak melayan sapaan lelaki pada situasi bersendirian, pada lokasi yang tidak selamat bagi perempuan, ego adalah jalan selamat kerana membuatkan seorang perempuan itu menjadi lebih waspada dan tidak memujuk diri untuk termakan pujuk rayu lelaki jahat.
Ego adalah sifat yang sangat berguna jika digunakan pada situasi yang betul namun keegoan perempuan jika diletakkan pada saat yang salah akan membahayakan diri sendiri kerana sifat ego tidak mampu melawan kekuatan dan lelaki akan menggunakan kekuatannya apabila egonya tercabar jika perempuan berlebihan menunjukkan sikap egonya.
Lelaki Ego
Setiap lelaki pasti mempunyai ego masing-masing tetapi apa yang membezakannya adalah tahap keegoan mereka. Ada yang tidak ego langsung. Manakala ada lelaki yang terlalu ego sehingga tidak pernah mengucapkan sayang kepada isterinya. Kadang-kadang berhadapan dengan lelaki ego sangat menyusahkan malah merumitkan. Tapi, kalau sudah sayang seperti suami isteri, nak buat macam mana kan.
Kenapa ego lelaki setinggi langit?
Kalau sebut sahaja mengenai ego, pastinya individu yang seringkali terpalit dengan sikap ini adalah insan yang bergelar lelaki. Ego atau dari pengertiannya yang bermaksud keras kepala serta merasa diri sentiasa betul. Ia adalah sangat sinonim dengan jantina lelaki. Pastinya ada sebab mengapa mereka mempunyai ego setinggi langit bukan?
Dari pemerhatian, ada beberapa sebab mengapa lelaki mempertahankan ego mereka yang tinggi itu:
1. Lelaki sebagai pemimpin
Sejak dari zaman permulaan manusia lagi, lelaki diciptakan sebagai seorang pemimpin. Sifat pemimpin ini menjadikan mereka merasa berkuasa ke atas orang bawahannya yang dianggap lebih lemah. Oleh kerana keputusan berada di tangannya, mereka terdorong untuk menggunakan kuasa veto dan mengenepikan pandangan orang lain.
2. Tidak mahu jatuh maruah
Lelaki merasakan kalau mereka merendahkan ego, maruah mereka seolah-olah jatuh dan dipijak oleh wanita. Jadi, untuk mengelakkan perasan jatuh maruah tersebut, mereka bertindak mengangkat ego mereka setinggi langit dan merasa senang dengan keadaan tersebut.
3. Luaran yang ‘tough’
Sebenarnya lelaki juga diciptakan dengan hati dan perasaan yang lembut dan sensitif di dalam. Namun, manalah kelihatan ‘cool’ kalau mereka menunjukkan sifat tersebut, bukan? Jadi untuk menutupinya, mereka menggunakan keperibadian luaran yang ego dan kasar.
4. Tidak mahu mengalah
Kalau diikutkan, sifat tidak mahu mengalah adalah satu sifat yang positif. Namun, ia juga mampu menjadikan ego seorang lelaki itu tinggi. Apabila merasakan pandangan mereka selalu saja betul, mereka cenderung untuk menganggap seorang isteri atau wanita perlu mengikut kata-kata dan pandangan mereka sebagai ketua keluarga.
Cara mengatasi ego
1.Jauhi sikap ego dalam perhubungan
Sikap ego yang tinggi dalam perhubungan mahupun pekerjaan boleh mendatangkan kepada musibah yang tidak diingini. Jangan jadikan ego sebagai ketua dalam mengawal diri anda, bahkan jangan jadikan tahap ego sebagai satu sikap yang kekal di dalam diri anda, kerana ego dapat mengubah segala-galanya.
2.Mereka tidak suka dipersalahkan
Seseorang yang mempunyai ego tinggi dalam perhubungan tidak suka dipersalahkan. Mereka berasakan apa yang mereka lakukan sentiasa benar. Mereka sukar untuk mengalah. Mereka berasakan sekiranya mereka mengalah, mereka sudah kalah. Justeru itu, cuba berfikir dengan lebih terbuka, jangan terburu dalam berkata-kata, ianya adalah untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
3.Bijak dalam mengawal emosi
Untuk berhadapan dengan mereka yang mempunyai ego yang tinggi, anda seharusnya bijak mengawal emosi dalam berbicara. Jangan menggunakan nada yang tinggi dalam menegur mereka, anda mesti menggunakan nada yang lembut supaya kata-kata anda tidak mengguris perasaan mereka.
4.Menegur dengan baik
Sekiranya anda tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakan, cuba bantah dengan cara yang lembut, ini adalah kerana, mereka yang mempunyai ego yang tinggi sering mahukan seseorang yang menurut perintah, walhal mereka tidak sedar akan kesalahan mereka itu. Cara yang terbaik adalah dengan menegur mereka dengan cara yang lembut. Sekiranya anda sendiri menggunakan cara yang keras dalam menegur mereka, sudah semestinya mereka akan lebih pertahankan keegoan mereka.
Oleh itu, sekiranya anda berasakan anda seorang yang mempunyai ego yang tinggi, seharusnya anda perbaiki kelemahan itu, ia adalah kerana dengan sikap ego, dapat menjurangkan sesuatu hubungan itu, jangan terlalu mementingkan diri sendiri, dengar pendapat orang lain juga. – Agensi