Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eguavoen letak jawatan, gagal ke Piala Dunia

    ABUJA, 1 APR – Persekutuan Bola sepak Nigeria (NFF) berkata jurulatih kebangsaan, Augustine Eguavoen dan penolongnya telah meletakkan jawatan selepas pasukan tersebut gagal layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

    NFF berkata dalam satu kenyataan lewat kelmarin bahawa kakitangan kejurulatihan telah meletakkan jawatan yang berkuat kuasa serta-merta.

    Pada Selasa lalu, Ghana menewaskan Nigeria berdasarkan peraturan gol di tempat lawan untuk mara ke pusingan akhir Piala Dunia yang bermula pada November nanti. Ini adalah kali pertama Nigeria gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia sejak 2006.

    Selain daripada Eguavoen, jurulatih lain yang dilucutkan daripada tugas mereka adalah Emmanuel Amuneke, Salisu Yusuf, Joseph Yobo, pakar penjaga gol Alloy Agu dan Paul Aigbogun. “Seorang kru teknikal baharu akan diumumkan selepas semakan yang sewajarnya untuk menggalas tugas baharu dalam memberikan dorongan kepada Super Eagles untuk menghadapi cabaran masa hadapan dengan sewajarnya,” kata NFF.

    Penyokong Nigeria telah mengkritik pendekatan taktikal Eguavoen, bekas pemain pertahanan antarabangsa berusia 56 tahun yang dilantik sebagai jurulatih Super Eagles dalam kapasiti sementara pada Disember lalu selepas jurulatih Perancis, Gernot Rohr dipecat.

    Dia mengetuai juara Afrika tiga kali itu ke pusingan 16 Piala Negara-negara Afrika di Cameroon tahun ini, di mana mereka telah ditewaskan oleh pasukan Tunisia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda