EgyptAir sambung penerbangan dari China

KAHERAH, 20 FEB – EgyptAir hari ini mengumumkan penerbangan mingguan keluar dan masuk dari China disambung semula mulai 27 Februari, yang sebelum ini digantung akibat wabak COVID-19.

“EgyptAir memutuskan untuk meneruskan kembali penerbangan mingguan pada setiap Khamis untuk laluan Kaherah-Beijing-Guangzhou bermula 27 Februari, kerana terdapat permintaan,” lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan syarikat penerbangan itu.

Pada 30 Januari, EgyptAir menggantung sementara penerbangan keluar dan masuk dari China

Syarikat penerbangan lain yang turut menggantung perkhidmatan ke China termasuk Lufthansa, British Airways, Swiss International Air Lines, Austrian Airlines, Air Canada, American Airlines, Cathay Pacific, United dan Finnair.

COVID-19 mula dikesan di Wuhan, di wilayah Hubei, China, pada akhir Disember, sejak itu ia merebak ke lebih 25 negara. Jumlah kes yang disahkan di tanah besar China melepasi angka 74,000 dengan lebih 2,100 orang meninggal dunia, menurut pihak berkuasa kesihatan China. – Bernama