MADRID, 1 Mac – Real Sociedad terlepas peluang untuk memintas Atletico Madrid ke tangga keempat La Liga apabila jaringan minit ke-93 Pedro Leon meragut kemenangan ke atas Eibar ketika seri 2-2 dalam pertemuan penuh kontroversi dua tetangga Basque itu, awal pagi tadi.
Tandukan Juanmi meletakkan Sociedad di depan, tetapi dia dilayangkan kad kuning gara-gara meraikan jaringan itu dengan memakai kemeja T, Pablo Raez.
Raez, yang juga seperti Juanmi berasal dari Malaga, baru-baru ini meninggal dunia pada usia 20 tahun kerana leukemia dan terkenal dengan kempen mengumpul dana menerusi laman sosial.
Gonzalo Escalante menyamakan kedudukan menerusi tandukan sebelum menuju waktu rehat dan selepas itu aksi mula tertumpu ke atas beberapa keputusan pengadil, Alberto Undiano Mallenco di separuh masa kedua.
Pertama, dia mengarahkan pemain Eibar, Florian Lejeune keluar padang selepas melayangkan dua kad kuning di atas kekasarannya.

Kemudiannya tiba giliran Juanmi yang sudah menerima kad kuning pada babak pertama untuk dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua.
Pengendali Eibar, Jose Luis Mendilibar turut diarahkan keluar ke bangku penonton selepas Carlos Vela menyempurnakan penalti ‘lembut’ untuk meletakkan Sociedad kembali di depan.
Bagaimanapun, Eibar terus menghidupkan peluang untuk meraih tiket ke Liga Europa musim depan apabila percubaan rendah Leon lolos di bawah tangan Geronimo Rulli sekali gus melonjakkan mereka ke tangga keenam untuk terikat 39 mata bersama Villarreal.
Sociedad pula terikat bersama Atletico Madrid 45 mata tetapi skuad kendalian Diego Simeone memiliki kelebihan satu aksi dalam tangan, berkunjung ke Deportivo la Coruna pada awal pagi Jumaat ini. – AFP