Demi menghasilkan karya berkualiti, pembikinan filem animasi Ejen Ali: The Movie 2 menelan kos perbelanjaan sebanyak RM10 juta.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation Studio, Muhammad Usamah Zaid Yasin, kos tersebut lebih besar berbanding filem pertama yang ditayangkan pada lima tahun lalu.
“Kami mula penghasilan filem ini awal tahun lalu. Anggaran bajet untuk menyiapkan filem kedua ini sebanyak RM10 juta. “Kos ini lebih tinggi berbanding filem pertama pada 2019 iaitu sbeanyak RM6.5 juta. Banyak perkara yang mempengaruhi bajet kali ini, dari segi situasi ekonomi dan kos tenaga kerja serta kos tambahan lain,” katanya kepada mStar.
Usamah berkongsi perkara itu ketika ditemui ketika sesi pelancaran Misi: First Look Ejen Ali The Movie 2 di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam pada itu, Usamah memberitahu filem animasi berkenaan masih dalam fasa pembikinan dan belum siap sepenuhnya.
“Dari segi proses awal, sekarang kami dah masuk 50 peratus. Tapi kami masih dalam proses persiapan tahap akhir. Sekarang ni kerja kami bercampur, ada babak yang dah siap dari segi animasi, ada yang masih berada pada peringkat susunan,” jelasnya.
Bercerita mengenai kelainan, Usama memaklumkan filem ini akan menampilkan pembaharuan dari segi jalan cerita, kesan visual serta karakter yang ditampilkan.
“Dari segi kelainan, tentunya kami akan tambah baik banyak perkara termasuk kualiti visual. Seperti yang dapat dilihat dari video teaser ada perbezaan pada perincian rambut Ali. Kami akan cuba membuat pembaharuan penceritaan dan watak-watak sedia ada. Dan untuk filem ini, kami juga akan perkenal watak baharu yang tak pernah ada sebelum ini,” kongsinya.