Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan JKED
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) berjaya menahan beberapa komoditi komersial dan runcit yang cuba dibawa masuk bersama komoditi yang diisytiharkan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di kawasan pemeriksaan Guardhouse, Pelabuhan Muara pada 2 dan 3 Julai lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, hari ini, syarikat ejen kastam yang terbabit akan disiasat mengikut Perintah Kastam 2006 dan Perintah Eksais 2006.
Jika sabit kesalahan, syarikat tersebut boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $5,000 atau didakwa di mahkamah.
Selain daripada itu, kebenaran lantikan kepada syarikat ejen kastam berkenaan akan digantung sehingga kes selesai diambil tindakan oleh JKED.
Sehubungan dengan itu, JKED mengingatkan kepada syarikat-syarikat ejen kastam dan orang ramai untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dan tidak menyalahi undang-undang yang berkuat kuasa pada masa ini.
JKED turut menyarankan kepada syarikat-syarikat ejen kastam untuk sentiasa memastikan maklumat-maklumat yang dimasukkan ke dalam Brunei Darussalam National Single Window (BDNSW) adalah betul dan teratur.
Dalam pada itu, JKED juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang, menggantung atau menarik balik lesen ejen kastam terhadap syarikat-syarikat yang melakukan kesalahan.
Kegagalan dalam mengisytiharkan barang dengan betul akan diambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 138 Perintah Kastam 2006 dan Seksyen 144 Perintah Eksais 2006, yang boleh dikenakan denda sehingga $40,000 atau jumlah cukai yang perlu dibayar, mengikut jumlah yang mana lebih tinggi. JKED turut mengalu-alukan orang ramai untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau segala aktiviti yang menyalahi perundangan kastam.
Sebarang maklumat orang ramai bolehlah menghubungi JKED di talian 8714422 atau pejabat kastam yang berdekatan.