Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Berikutan dengan maklum balas positif yang diterima semasa penyertaan Jabatan Kemajuan Pelancongan di ITB China 2025 di Shanghai, baru-baru ini, jabatan berkenaan dengan kerjasama Singapore Airlines dan ejen pelancongan tempatan, telah mengadakan lawatan suai kenal bagi 6 orang ejen pelancongan khusus bagi Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) dari Republik Rakyat China.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, menyatakan kumpulan berkenaan yang tiba dari Beijing dan Guangzhou, meneroka keunikan gabungan alam semula jadi, budaya dan hospitaliti Brunei, yang meletakkan negara sebagai destinasi baru yang muncul bagi pelancongan insentif dan acara perniagaan.
Sepanjang program selama 5 hari berkenaan, para peserta berpeluang untuk menikmati lawatan berjadual yang mengetengahkan pelbagai tawaran MICE dan pelancongan Brunei.

Lawatan itu meliputi pemeriksaan tempat, hotel terpilih dan ruang acara, aktiviti pembinaan pasukan insentif, pengembaraan lawatan pulau serta sesi suai kenal interaktif seperti tarik kalat dan cabaran berkumpulan yang direka untuk menggalakkan kolaborasi serta semangat berpasukan.
Salah satu tarikan istimewa dalam jadual lawatan berkenaan ialah Jerudong Beachside Glamping, aktiviti pengalaman unik yang menggabungkan perkhemahan di luar dengan keindahan pemandangan persisiran pantai Brunei.
Di samping itu, para peserta juga mengadakan lawatan ke beberapa mercu tanda Brunei termasuk Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Istana Nurul Iman, The Frame dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, merakamkan inti pati warisan budaya dan seni bina Brunei.


Lawatan itu juga merangkumi pengalaman alam sekitar mengasyikkan di Ulu Temburong di mana kumpulan berkenaan mengambil bahagian dalam demonstrasi memasak, aktiviti pengembaraan seperti berakit dan berkayak.
Semasa lawatan berkenaan, Jabatan Kemajuan Pelancongan juga berinteraksi dengan ejen pelancongan China untuk membincangkan kemungkinan kolaborasi masa depan termasuk promosi pemasaran silang untuk meningkatkan keterlihatan Brunei di pasaran China.
Inisiatif berkenaan adalah selaras dengan momentum berkembang pelancong China berkunjung ke Brunei.
Pada 2024, Brunei telah mengalu-alukan seramai 39,007 orang pelawat dari China dan sehingga September 2025, jumlah berkenaan telah mencapai 32,555 orang, mencerminkan pertumbuhan mantap dan minat meningkat di kalangan pengembara China.
Program suai kenal berkenaan memainkan peranan penting dalam mengekalkan trend positif sambil mempromosikan Brunei sebagai destinasi premium dan aman bagi acara perniagaan serta riadah.

