Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ejen pelancongan India kenali Brunei

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Seramai 13 ejen pelancongan dari Chennai, India berpeluang mengadakan lawatan suai kenal selama tiga hari ke Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), ejen-ejen pelancongan berkenaan dihoskan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menerusi JKP dalam kolaborasi dengan pihak berkepentingan pelancongan utama termasuk Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), rakan-rakan kongsi pelancongan tempatan dan penyedia penginapan.

    Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Negara Brunei Darussalam untuk melibatkan pasaran India dengan mengetengahkan tarikan negara kepada pelancong India.

    Lawatan suai kenal yang diadakan dari 22 hingga 24 April, merupakan kesinambungan langsung kepada lawatan awal JKP ke Chennai pada Oktober 2024, di mana perbincangan awal serta pembentangan destinasi telah diadakan dengan pemain-pemain industri pelancongan utama.

    Inisiatif menjemput ejen pelancongan itu, bertujuan untuk memberikan mereka pengalaman langsung Brunei, menghargai dengan lebih mendalami tarikan unik negara serta meningkatkan keupayaan mereka untuk mempromosikan dan menjual Brunei kepada klien mereka dengan yakin.

    Semasa lawatan tiga hari itu, Tourism Brunei menghoskan ejen-ejen berkenaan kepada sesi pengenalan yang menarik mengenai penawaran pelancongan negara, mengetengahkan tempat-tempat menarik, pengalaman kebudayaan dan peluang-peluang pelancongan yang menarik kepada pelancong India.

    Ejen-ejen berkenaan juga menyertai jadual lawatan terpilih yang merangkumi lawatan ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Ayer, Muzium Alat Kebesaran Diraja, Taman Negara Ulu Temburong dan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Para peserta juga menikmati lawatan safari sungai bakau yang baru dipertingkatkan dengan bot, menawarkan perspektif segar pesona semula jadi Kampong Ayer.

    Satu sesi rangkaian pendek dan maklum balas juga diadakan untuk meneroka potensi kerjasama masa depan dan menyesuaikan usaha pemasaran supaya ia sesuai dengan pasaran pelancongan India, terutamanya dari India Selatan.

    Ejen-ejen pelancongan India berpeluang mengenali lebih mendalam tarikan pelancongan negara menerusi lawatan suai kenal selama tiga hari, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda