Wednesday, February 26, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ejen pelancongan Indonesia teroka budaya, warisan Brunei

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menerusi Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama pihak berkepentingan pelancongan utama termasuk Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), ejen-ejen pelancongan dan penginapan, telah menghoskan 11 orang ejen pelancongan dari Balikpapan, Indonesia bagi lawatan pengenalan selama empat hari ke Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, inisiatif itu melengkapkan penyambungan semula penerba-ngan langsung dari Balikpapan ke Negara Brunei Darussalam pada 19 Februari, justeru meningkatkan lagi kesalinghubungan penerbangan di antara kedua-dua rantau berkenaan.

    Lawatan pengenalan itu diadakan susulan kejayaan Sesi Jaringan Indonesia-Brunei Darussalam yang diadakan di Jakarta pada Januari lalu, sebagai sebahagian daripada Kempen Brunei Yuk: Destinasi Halal Favoritmu, dengan matlamat meletakkan Brunei sebagai destinasi pelancongan halal unggul yang mengetengahkan kekayaan budaya, ketenangan rohani dan keindahan alam semula jadi kepada pelancong-pelancong Indonesia.

    Sepanjang tempoh lawatan, ejen-ejen pelancongan berkenaan mengikuti jadual perjalanan yang mengasyikkan yang diisi dengan lawatan ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Ayer, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Taman Negara Ulu Temburong.

    Lawatan berjadual itu adalah selaras dengan strategi jabatan bagi memboleh-
    kan ejen-ejen berkenaan menyelami dan mendapatkan gambaran yang lebih mendalam, membolehkan mereka mengongsi pengalaman tersebut dengan klien mereka.

    Jabatan itu juga mengadakan resepsi bagi ejen-ejen Balikpapan untuk membincangkan kolaborasi berpotensi dan mendapatkan maklum balas berharga terhadap profil klien mereka, dengan tujuan mendapatkan gambaran terhadap inisiatif-inisiatif promosi akan datang.

    Statistik pelancongan menekankan tarikan Brunei yang semakin bertambah dalam kalangan pelancong Indonesia di mana pada 2024, Brunei mengalu-alukan 25,974 orang pelancong Indonesia melalui udara iaitu satu peningkatan ketara daripada 13,673 orang pada 2023.

    Bergerak ke hadapan, jabatan berkenaan menggariskan rancangan komprehensif bagi 2025, termasuk menganjurkan lebih banyak lawatan pengenalan dan memanfaatkan strategi pemasaran digital untuk menarik lebih ramai pelawat Indonesia.

    Ejen-ejen pelancongan Balikpapan merasai pengalaman menaiki bot semasa mengadakan lawatan ke negara ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN
    Ejen-ejen pelancongan Balikpapan semasa mengadakan lawatan pengenalan ke Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda