KUALA LUMPUR, 26 FEB – Sepasang suami isteri bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datin’ ditahan di kediaman mereka di Shah Alam, pada 16 Februari lepas kerana disyaki menjadi ejen Pembantu Rumah Asing (PRA) secara haram.
Selain mereka, Jabatan Imigresen turut menahan 13 wanita warga Indonesia berumur dalam lingkungan 22 hingga 47 tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata hasil siasatan mendapati mereka masuk ke negara ini dengan menyamar sebagai pelancong menggunakan Pas Lawatan Sosial.
Beliau berkata lokasi serbuan merupakan rumah kediaman pasangan itu yang turut dijadikan tempat tinggal warga asing terbabit.
“Mereka (warga Indonesia) akan dibekalkan sebagai pembantu rumah dan pekerja pembersihan.
Mereka akan dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,500 seorang sebagai bayaran perkhidmatan mengurus kemasukan yang akan dipotong melalui gaji bulanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Bernama